Ad

Friday, 10 January 2014

Bukan Kim Swee ke Yemen

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Ong Kim Swee
PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal memperkenalkan ketua jurulatih baharu Harimau Malaya selewat-lewatnya bulan depan, sambil memberi bayangan Datuk Ong Kim Swee bukan orang yang akan membawa Malaysia pada perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2015, Mac ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin semalam memberi bayangan, sekurang-kurangnya 95 peratus urusan menamakan jurulatih hampir selesai apabila Malaysia bertemu Yemen pada 5 Mac nanti dan jurulatih sementara, Kim Swee tidak perlu membimbing skuad negara.

Satu lagi isyarat yang turut diberikan Hamidin, kemungkinan besar FAM akan mengambil jurulatih luar negara, biarpun beliau enggan mendedahkan nama calon.

''Mengenai jurulatih baharu Harimau Malaya, FAM akan mengumumkan selewat-lewatnya Februari ini kerana buat masa ini masih ada satu, dua perkara yang perlu diselesaikan.

''Lima nama telah disenarai pendek dan kami akan memutuskan calon yang layak memikul tugasan selaku jurulatih Harimau Malaya dalam masa terdekat," katanya di Wisma FAM, semalam.

Philippe Troussier kekal sebagai pilihan utama untuk mengisi kerusi panas ditinggalkan Datuk K. Rajagobal apabila pihak FAM dikhabarkan telah mengadakan dua pertemuan dengan bekas pengendali Jepun dan Qatar itu.

Namun, FAM mendapat saingan daripada Tunisia yang turut mencari pengganti Ruud Krol yang dipecat ekoran gagal layak ke Piala Dunia 2014.

Dua nama baharu yang turut dikaitkan adalah bekas pengurus AS Roma, Zdenek Zeman dan bekas pemain antarabangsa Perancis, Marcel Desailly, selain bekas jurulatih Uzbekistan dan India yang berasal dari England, Bob Houghton.

Sebelum ini, bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic dan bekas penolong jurulatih Liverpool, Alex Miller turut berminat menjadi jurulatih Harimau Malaya.

Dua nama jurulatih tempatan, Kim Swee dari Harimau Muda A dan bekas jurulatih Pahang, Dollah Salleh juga dikaitkan antara lima nama yang disenarai pendek.

Menyentuh mengenai Kim Swee, Hamidin menjelaskan pengendali Harimau Muda A itu telah dilanjutkan kontrak dua tahun, selain diberi peranan membantu jurulatih Harimau Malaya yang akan dilantik.

''Tugas utama Kim Swee masih bersama Harimau Muda A cuma apabila ketua jurulatih kebangsaan dilantik tidak lama lagi, beliau akan membantu dalam beberapa kejohanan tetapi bukannya sebagai penolong.

''Ini sebagai langkah buat dirinya menimba pengalaman yang boleh membantu semasa membimbing Harimau Muda A," katanya lagi.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140110/su_01/Bukan-Kim-Swee-ke-Yemen#ixzz2q2RlB122 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment