Ad

Friday, 10 January 2014

Beregu muda lakar kejutan

Oleh AIZAWATI AHMAD
aizawati.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Pasangan muda negara, Goh V Shem-Lim Kim Wah melakar kejutan pada kejohanan badminton Siri Super Terbuka Korea apabila menumbangkan pilihan kelapan, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin dari Taiwan untuk melangkah ke suku akhir, semalam.

V Shem-Khim Wah, yang menghuni ranking ke-16 dunia diheret dalam pertarungan hampir sejam sebelum menang 16-21, 21-14, 21-19.

Menanti mereka pada suku akhir hari ini adalah pasangan No. 3 dunia dari Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen.

Cabaran Malaysia pada kejohanan bernilai AS$600,000 (RM1.97 juta) itu turut diteruskan pemain No. 1 dunia yang turun memburu kejuaraan keempat, Datuk Lee Chong Wei.

Chong Wei tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan pemain Jerman, Marc Zwiebler 21-14, 21-18 bagi menempah pertemuan dengan pilihan ketujuh dari China, Du Pengyu yang mara selepas menundukkan Kento Momota 21-10, 21-15.

Sementara itu, Chong Wei berkata, biarpun berjaya meneruskan rentak cemerlang dengan melangkah ke suku akhir, namun dia sedikit kecewa kerana skrip lama masih berulang apabila dia kekal perseorangan tunggal meneruskan cabaran ke suku akhir.

Juara 2013, 2012 dan 2010 itu bagaimanapun berjanji akan mempamer aksi terbaiknya apabila berdepan Pengyu, pemain yang telah ditewaskan dalam sembilan daripada 10 pertemuan mereka.

"Saya cuba memberikan yang terbaik, fokus pada diri sendiri dan perlawanan. Apa yang penting saya seronok dengan permainan saya," katanya yang memiliki rekod pertemuan 9-1 ke atas Pengyu.

Ketika ditanya mengenai prestasi hambar yang dipamerkan rakan-rakan sepasukannya, Chong Wei yang sudah lali menjadi wakil tunggal negara dalam mana-mana kejohanan yang disertainya amat berharap sukan badminton negara dapat kembali pulih sebelum dia bersara.

"Saya mahu lihat badminton naik semula sebelum bersara. Sekurang-kurangnya dapat keputusan lebih bagus, tapi masalahnya sekarang badminton sudah semakin menurun," ujarnya meluahkan kebimbangan yang bersarang di hati.

Jelas pemain berasal dari Pulau Pinang itu, dia kini bukan sahaja menggalas tugas untuk diri sendiri, tetapi juga membawa harapan Malaysia bagi mendapatkan keputusan seperti yang diharapkan.

"Selalu memang tinggal saya seorang, apa boleh buat. Saya perlu kekalkan harapan untuk mencatat kemenangan buat negara, saya harap dapat menyerap tekanan dan melakar keputusan yang baik," katanya lagi.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140110/su_06/Beregu-muda-lakar-kejutan#ixzz2q2QKpu5R © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment