Ad

Friday, 10 January 2014

Kelab Thailand bakal uji kekuatan The Red Warriors

Francis Forkey (tengah) bakal menguatkan jentera serangan The Red Warriors bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.
 
KOTA BHARU - Kelantan akan menggunakan aksi persahabatan menentang kelab Thailand, Phattalung FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu ini bagi menguji kemampuan pemain import mereka sebagai persiapan menjelang sepak mula Liga Super pada 18 Januari ini.

Pengendali Kelantan Steve Darby berkata, ia bagi membentuk kombinasi mantap di antara pemain selain membiasakan mereka dengan saingan liga musim ini.

Menurutnya, pada perlawanan itu, The Red Warriors akan menggunakan sepenuhnya tonggak import bagi mencari pemain yang tepat bagi mengisi kuota import dalam senarai kesebelasan utama pada saingan Liga Super nanti.

"Kita tidak boleh menurunkan kesemua pemain import sekali gus bagi menggelakan persiapan kita untuk saingan musim ini tidak terjejas.

"Bagi saya, sistem giliran amat penting untuk melihat siapa yang lebih berhak untuk berada dalam senarai kesebelasan utama pasukan dalam saingan musim ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Saingan musim ini menyaksikan Kelantan diperkuat dengan empat tonggak import iaitu Francis Forkey Doe (Liberia), Mohammad Ghaddar (Lubnan) Mohammad Shawkay (Mesir) dan Obinna Nwaneri (Nigeria).

Darby memberitahu, pertemuan dengan Phattalung merupakan aksi terakhir pra musim The Red Warriors tahun ini.

Katanya, pasukannya kini telah kesuntukan masa memandangkan pertemuan sulung Liga Super berdepan Sime Darby bakal berlansung tidak berapa lama lagi.

"Selepas ini, kita akan kembali fokus kepada latihan dan kecergasan seperti biasa bagi memastikan persiapan pasukan berada pada tahap terbaik," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Darby memberitahu tonggak pertahanannya, Nwaneri akan beraksi pada perlawanan tersebut.

"Saya harap dia boleh menunjukkan aksi terbaiknya pada penampilan sulung bersama Kelantan musim ini pada pertemuan dengan Phattalung FC.

"Saya turut diberitahu dia berjaya menurunkan berat badannya sebanyak empat kilogram dan itu merupakan sesuatu yang mengujakan," ujarnya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140110/su_09/Kelab-Thailand-bakal-uji-kekuatan-The-Red-Warriors#ixzz2q2PIuneP © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment