Ad

Thursday, 9 January 2014

Dharma sudah lupakan 'sengketa' dengan Revington

 
DHARMA RAJ Abdullah terima tawaran sebagai penolong Paul Revington (kanan) untuk melatih skuad negara kerana mahukan cabaran lebih besar.
KUALA LUMPUR - Muhammad Dharma Raj Abdullah yang baru dilantik sebagai penolong jurulatih skuad hoki kebangsaan percaya hubungannya dengan ketua jurulatih Paul Revington akan kekal positif biarpun mengakui mereka berdua panas baran.

Pada pertengahan tahun lalu, mereka menggemparkan sukan hoki tanah air apabila Revington mengumumkan untuk melepaskan jawatannya atas alasan diganggu oleh Muhammad Dharma namun semuanya kembali tenang selepas campur tangan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menjernihkan keadaan.

Kata Muhammad Dharma, dia kini sudah melupakan semua perkara lama itu dan meletakkan fokus untuk bekerjasama dengan jurulatih warga Afrika Selatan itu bagi memastikan skuad kebangsaan mencapai kecemerlangan.

“Saya dan dia (Revington) ada sikap panas baran dan kami telah bersetuju untuk berusaha mengawal sikap negatif itu demi pasukan negara.

“Saya juga berharap tiada apa-apa yang buruk berlaku lagi melibatkan kami kerana saya seorang yang jujur serta tidak mempunyai sebarang niat untuk menjatuhkan sesiapa," kata Muhamad Dharma selepas majlis penghargaan skuad hoki remaja kebangsaan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini semalam.

Muhammad Dharma yang sebelum ini membimbing skuad remaja menyerlah di kejohanan Piala Dunia Remaja di New Delhi, India bulan lalu adalah antara lima penolong jurulatih pasukan kebangsaan yang akan membantu Revington mengharungi jadual padat pada tahun ini.

Selain Muhammad Dharma, empat lagi penolong jurulatih skuad kebangsaan ialah Arul Selvaraj, Nor Azlan Bakar, K. Gobinathan dan M. Nadarajah.

Katanya, sebab utama dia menerima tugas selaku penolong jurulatih skuad kebangsaan adalah untuk mendapatkan cabaran lebih besar.

“Sebelum ini saya belum pernah menjadi penolong jurulatih kerana hanya menggalas tugas sebagai jurulatih dan kerana mahukan cabaran saya terima tawaran ini.

“Selepas menyaksikan pasukan remaja mencipta kejayaan kini saya mahu melihat perkara sama dalam kem skuad senior kebangsaan," kata Muhammad Dharma.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140109/su_02/Dharma-sudah-lupakan-sengketa-dengan-Revington#ixzz2puqfDJwB © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment