Ad

Thursday, 9 January 2014

Pengadil berat sebelah - Moyes

 
PEMAIN Manchester United, Ryan Giggs (kiri) dan penjaga golnya, David de Gea hanya mampu terpaku selepas Giggs menjaringkan gol sendiri ketika menentang Sunderland dalam perlawanan separuh akhir Piala Liga di Stadium of Light, Sunderland, England semalam. - REUTERS
SUNDERLAND - Pengurus Manchester United, David Moyes mendakwa skuad bimbingannya tidak dilayan secara adil oleh pengadil dalam perlawanan yang menyaksikan mereka kalah 2-1 kepada Sunderland pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga semalam.

Sepakan penalti yang disempurnakan penyerang dipinjam dari Liverpool, Fabio Borini pada babak kedua membolehkan tuan rumah melakar kemenangan 2-1 di Stadium of Light.

United pula buat kali pertama dalam tempoh 13 tahun mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan

Sebelum ini mereka dengan jumlah jaringan yang sama kepada Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana yang menyebabkan mereka berada 11 mata di belakang pendahulu, Arsenal dan kemudian disingkir daripada Piala FA setelah tunduk kepada Swansea City di laman sendiri.

Moyes berang terhadap Andre Marriner apabila pengadil itu menghadiahkan sepakan bebas kepada Sunderland yang membuka peluang kepada lawan mendapatkan jaringan pembukaan menerusi gol sendiri Ryan Giggs pada minit terakhir babak pertama.

"Kami gagal bertahan dengan baik ketika sepakan bebas itu diambil, tetapi cara pengadil memberikan sepakan itu mengejutkan saya. Saya tidak melihat sepakan bebas itu wajar diberikan," kata Moyes.

Nemanja Vidic menyamakan kedudukan buat United sebaik aksi separuh masa kedua bermula, namun selepas itu, Sunderland dihadiahkan sepakan penalti apabila Tom Cleverly menghalang pergerakan pemain gantian, Adam Johnson.

Keputusan itu juga tidak dapat diterima oleh Moyes.

"Kami hanya mampu ketawa pada ketika itu. Nampaknya kami bukan sahaja berdepan dengan pasukan lawan, tetapi juga perlu bersaing dengan pegawai pertandingan," katanya.

Pada ketika gelaran liga yang menjadi buruan mereka semakin jauh daripada jangkauan, perlawanan timbal balik kedua pada 22 Januari ini mungkin memberi peluang kepada Moyes untuk menebus kembali kehampaan bagi meraih trofi domestik pada kempen sulungnya bersama United.

Dengan prestasi yang semakin merudum musim ini, pengurus terdahulu, Alex Ferguson turut hadir di Stadium of Light, di samping legenda kelab, Bobby Charlton dan Bryan Robson.

"Tidak, saya tidak tertekan. Perlawanan ini dilaksanakan secara timbal balik dan saya tidak sabar untuk menyaksikan pertemuan kedua kelak," kata Moyes ketika ditanya sama ada dia berasa tertekan untuk membawa pasukannya layak ke perlawanan akhir. - AFP

SUMBER:http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140109/sl_01/Pengadil-berat-sebelah---Moyes#ixzz2puoq5Lkg © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment