'Itu cuma hasrat Chong Wei'
NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
21 Januari 2014
'Itu cuma hasrat Chong Wei'
Tengku Mahaleel (dua, kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan XOX Berhad, Datuk
Eddie Chai pada majlis MoU di Bukit Kiara, semalam. Turut kelihatan, Chong Wei
(tengah) dan gandingan beregu, Goh V Shem-Lim Khim Wah
PERSATUAN Badminton Malaysia
(BAM) seolah-olah tidak mengambil pusing mengenai hasrat jaguh badminton
negara, Datuk Lee Chong Wei yang ingin bersara pada penghujung Disember ini,
sekiranya prestasi beliau tidak berada pada tahap terbaik.
Ia susulan reaksi Presiden BAM,
Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Arif yang tenang menjawab soalan pihak media
ketika bertanyakan mengenai hasrat pemain nombor satu dunia itu.
Beliau berkata, perkara
berkenaan bukan tidak membimbangkannya tetapi sekadar hasrat dan bukan realiti.
"Sebenarnya saya tak boleh
komen mengenai isu itu memandangkan belum berbincang dengan Chong Wei lagi.
Tapi saya rasa itu hanya hasrat sahaja.
"Kita semua ada hasrat,
kadang-kadang-kadang saya sendiri pun ada hasrat. Jadi, saya rasa perkara ini
boleh dibincangkan," katanya dalam sidang media Majlis Menandatangani
Memorandum Persefahaman (MoU) dengan XOX Berhad, semalam.
Ketika ditanya mengenai langkah
BAM mencari pengganti Chong Wei sekiranya hasrat itu menjadi realiti, Tengku
Mahaleel mengakui ia satu cabaran buat badan induk itu memandangkan pihaknya
masih buntu mencari pemain tersebut.
"Cabaran buat BAM
sebenarnya, kerana kita sedia maklum kelemahan kita ialah pemain pelapis, kita
ada banyak pemain muda tapi masih belum mencapai tahap yang memuaskan.
"Dan disebabkan itu, saya
rasa mereka perlu lebih bekerja keras malah jurulatih perlu membimbing
meningkatkan kualiti pemain muda secepat mungkin.
"Tapi saya harap Chong Wei
akan bermain untuk tahap yang lebih lama lagi. Dia seorang pemain yang sangat
berbakat dan gelaran ke-10 yang diraih semalam (kelmarin) membuktikan dia
pemain tidak boleh ditandingi," jelasnya.
Kelmarin, Chong Wei
menjelaskan faktor kepenatan dan masalah
peribadi menjadi punca utama yang mendorong beliau menyuarakan hasrat untuk
bersara pada tahun ini.
"Jika kondisi dan fizikal
dia tidak di tahap memuaskan, dia boleh mengurangkan penyertaan kejohanan.
"Kami di BAM bukanlah
pihak yang suka menekan pemain sampai tubuh badan mereka tidak selesa. Kami
akan melihat kondisi pemain itu, apa pun, kita akan bincang dengan Chong
Wei," jelasnya lagi.
Dalam pada itu, mengulas
mengenai MoU dengan XOX Berhad, Tengku Mahaleel berkata beliau berbangga dengan
penglibatan XOX selaku salah satu
penaja.
"Badminton bukan hanya
melibatkan cara seseorang itu bermain, tetapi perspektif dan perkongsian
melalui telefon pintar serta media sosial bagi meningkatkan lagi peminat
badminton tanah air," katanya.
SINAR HARIAN ONLINE 21.1.14
No comments:
Post a Comment