Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my
JEREMY (kanan) akan mencari
pemain baharu untuk digandingkan dengan Peng Soon (dua dari kiri) dalam acara
beregu campuran selepas kecederaan yang dialami Goh Liu Ying.
JURULATIH beregu campuran
negara, Jeremy Gan mengakui beliau sudah mula mencari jalan penyelesaian untuk
menggandingkan Chan Peng Soon dengan Lai Pei Jing.
Begitupun, keputusan itu masih
belum muktamad kerana Jeremy mahu menilai dahulu tahap keserasian mereka
sebelum melakukan beberapa eksperimen dengan beberapa pemain lain sama ada
daripada beregu campuran atau beregu wanita.
“Saya memang sudah ada
perancangan kerana saya sudah menjangkakan pasangan Peng Soon, Goh Liu Ying
akan menjalani pembedahan lutut dan kami tidak boleh tunggu dia bedah baru
hendak mencari pengganti.
“Buat masa ini pilihan pertama
saya ialah Pei Jing tetapi saya juga perlu lihat keserasian dan prestasi
mereka. Mungkin dia tidak sampai standard Liu Ying lagi tetapi dia antara yang
terbaik.
“Mereka pernah digandingkan
tiga kali dalam kejohanan tempatan dan meraih dua gelaran serta satu tempat di
separuh akhir ketika beraksi pada Terbuka Kedah, Terbuka Kuala Lumpur dan
Sirkit Kebangsaan Peringkat Akhir di Petra Jaya, Sarawak tahun lalu,” kata
Jeremy ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kosmo! kelmarin melaporkan
bahawa Liu Ying telah bersetuju untuk melakukan pembedahan pada kedua-dua belah
lututnya selepas mengalami kecederaan koyak 'meniskus' (pelapik sendi di
kedua-dua belah lutut), dan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kanan.
Pemain berusia 24 tahun itu
dijangka memerlukan masa sehingga enam bulan untuk pulih sepenuhnya sebelum
kembali memulakan latihan dan mencari rentak untuk menyambung kariernya dalam
sukan badminton.
Mengulas lanjut, Jeremy
mengakui bahawa rombakan juga bakal berlaku dalam skuad beregu negara kerana
beliau turut mempunyai sasaran untuk mencari pasangan baharu yang boleh
diberikan harapan.
“Selepas ini saya juga akan
cuba menggandingkan Peng Soon dengan Lim Yin Loo serta Lee Meng Yean tetapi
dalam kes Meng Yean saya perlu berbincang dengan jurulatih beregu wanita
terlebih dahulu.
“Tan Aik Quan dan Ong Jian Guo
juga tidak terlepas daripada sasaran kerana saya akan cuba mencari beregu
terbaik yang boleh menyumbangkan sesuatu kepada negara suatu hari nanti.
“Saya juga perlu memantau
proses pemulihan Liu Ying selepas dia melakukan pembedahan nanti,” jelas
Jeremy.
Tambah Jeremy lagi, Peng Soon
dan Pei Jing akan diuji untuk aksi pertama di pentas antarabangsa pada
Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Austria di Vienna pada 20 hingga 23
Februari depan.
Liu Ying akan menjalani
pembedahan di Hospital Pakar KPJ Damansara, Petaling Jaya pada 4 Februari
depan.
SUMBER:KOSMO ONLINE 26.1.14
No comments:
Post a Comment