NAZIR RAZAK
14 Januari 2014
Tun Abdul Razak Tun Abdul Razak
HARI ini, 38 tahun yang lalu,
pada tanggal 14 Januari 1976, Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia di London
disebabkan komplikasi daripada leukemia.
Malaysia kehilangan seorang
Perdana Menteri. Saya kehilangan seorang ayah. Malaysia ketika itu berusia 19
tahun. Saya, sembilan tahun.
Hari-hari berikutnya kami
berada dalam kesedihan, seakan-akan diselimuti kabur sementara seluruh Malaysia
‘meratap’ atas pemergiannya.
Saya perlu akui, pada usia saya
yang terlalu muda ketika itu, saya kadang kala merasakan bahawa beliau terlalu
mengutamakan urusan negara dan meninggalkan sedikit sahaja kenangan untuk kami
sekeluarga.
Bagaimanapun, saya tidak pernah
sekali pun berasa ragu akan sikap dedikasi beliau dan tidak mementingkan diri
dalam memikul tanggungjawab dan perhatian terhadap negara kita yang sedang baru
membangun. Ia tetap tersemat di hati ini.
Saya tidak berkesempatan untuk
‘mengenal’ beliau. Tetapi, kesan mendalam yang terpahat dalam diri ini adalah
nilai-nilai yang beliau sampaikan dan integriti diri yang beliau tekankan yang
mengatasi segala-galanya.
Ya, ini juga termasuklah ke
atas keluarganya. Saya teringat kepada satu peristiwa di mana kami adik-beradik
telah meminta beliau membina sebuah kolam renang di kawasan rumah kami, di Seri
Taman, iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri.
Oleh kerana beliau adalah
seorang peguam yang terlatih, beliau telah mengarahkan kami supaya
membentangkan kes bagi permintaan ini dan bersedia dengan hujah-hujah yang
lojik dan rasional.
Kami benar-benar fikirkan
bahawa kami telah mengutarakan cadangan yang bernas dengan hujah-hujah yang
mantap, sehinggalah kami terlihat air mukanya yang semakin berubah dan diiringi
dengan tenungan yang tajam.
Ayahanda saya memberitahu
dengan jelas bahawa walaupun Seri Taman adalah kediaman rasmi kami, ia
sebenarnya hak negara; bermakna, hak rakyat.
Apa sahaja yang dibelanjakan
untuk rumah itu adalah daripada tabung negara dan beliau tidak akan membenarkan
negara menampung perbelanjaan bagi sesuatu yang tidak penting seperti kolam
renang. “Apa akan rakyat fikir nanti?” tengking beliau.
Ketika usia saya semakin
meningkat, saya berusaha untuk mencari maklumat daripada mereka yang mengenali
beliau, termasuk mereka yang pernah bekerja dengannya di dalam kerajaan, ahli
politik, mereka yang memperjuangkan kemerdekaan dan lain-lain, termasuklah
daripada kalangan teman-teman beliau.
Ini adalah satu-satunya cara
untuk saya mengenalinya. Dalam hampir kesemua perbualan saya, saya dapati,
perkara yang paling ketara dan terkesan sekali ialah nilai-nilai yang dipegang
teguh oleh beliau.
Sebagai pemegang amanah kepada
tabung negara, sikap berhemat beliau dalam berbelanja adalah legenda. “Kamu
mesti bertanggungjawab terhadap setiap sen yang dibelanjakan, jika tidak beliau
akan meminta penjelasan yang terperinci,” kata seorang bekas menteri kepada
saya.
Sebenarnya saya memang sudah
sedia maklum akan perkara ini. Bukan kerana episod kolam renang itu sahaja,
malah daripada peristiwa-peristiwa lain. Abang-abang saya sering bercakap tentang pengalaman
mengiringi beliau ke Switzerland dalam satu lawatan rasmi - iaitu peluang yang
jarang-jarang sekali mereka perolehi.
Saya diberitahu bahawa beliau
memastikan segala kos penginapan ditanggungnya sendiri dan oleh kerana beliau
seorang yang amat prihatin tentang pembiayaan yang dikeluarkan oleh negara,
beliau menempatkan rombongannya di penginapan yang lebih murah daripada yang
telah dirancang dan selama abang-abang saya berada di sana mereka hanya makan
di restoran yang paling murah yang berdekatan dengan hotel.
Dan kemudian, pada Oktober
1975, iaitu ketika perjalanan terakhir beliau ke Eropah untuk rawatan
perubatan, mungkin beliau telah merasakan bahawa perjalanan itu adalah yang
terakhir, tetapi oleh kerana beliau ingin berjimat cermat, beliau tidak
membenarkan ibu saya mengiringinya, mungkin juga kerana beliau mahukan supaya
ibu mempunyai simpanan yang cukup dan
berada di dalam kemampuan bagi meneruskan kehidupan apabila ketiadaan
beliau kelak.
Ibu, bagaimanapun, dapat
bersama beliau beberapa minggu, kemudiannya atas desakan Kabinet, yang mengeluarkan
kebenaran untuk menggunakan wang negara bagi keperluan perjalanan ke sana.
Satu lagi sifat istimewa yang
dikaitkan dengan perwatakannya ialah
integriti beliau. Beliau sentiasa berpandukan kepada prinsip yang
sekarang mungkin dilihat sebagai kolot atau gaya lama dalam melaksanakan
tanggungjawab, iaitu penjawat awam adalah terlebih dahulu merupakan ‘hamba’
kepada rakyat yang mana kepercayaan tersebut tidak seharusnya dikhianati.
Juga beliau sentiasa dikaitkan
dengan stamina yang kuat. Ramai yang terperanjat apabila mengetahui yang beliau
menghidap penyakit leukemia. Ini kerana semasa memegang jawatan, beliau
sentiasa aktif; memberi perhatian terhadap urusan rasmi, meneliti semua dasar
terperinci dan tentu sekali lawatan mengejut yang sering beliau lakukan ke
kawasan-kawasan di seluruh negara.
Lawatan-lawatan ini mengeratkan
lagi perhubungan beliau dengan rakyat dan membantu beliau secara peribadi untuk
memahami apa yang berlaku di bawah.
Tentu sekali orang terlupa akan
dedikasi yang ditunjukkan beliau ke atas pembangunan kawasan luar bandar. Dari
mula lagi Tun Razak sentiasa berpegang kepada prinsip “Rakyat Diutamakan”, satu
pegangan yang beliau pertahankan, dari dulu lagi sebelum konsep ini menjadi
sebutan ramai.
Tetapi, yang paling
dipersetujui oleh mereka yang mengenalinya ialah komitmen Tun Razak kepada
keharmonian dan penyatuan negara – ke arah membina sebuah negara yang memberi
peluang dan tempat kepada setiap rakyat di bumi Malaysia ini.
Visi ini diserapkan di dalam
dua inisiatif yang beliau terajui semasa tragedi 13 Mei – penggubalan Rukun
Negara pada 1970 dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971.
Rukun Ngara berperanan untuk
menyatukan rakyat dengan pelbagai latar belakang dan budaya menerusi sebuah
negara yang sekular.
DEB pula adalah dasar yang
menegakkan perpaduan negara melalui percubaan secara besar-besaran di dalam
pembangunan sosio-ekonomi dengan serampang dua mata iaitu menghapuskan
kemiskinan tanpa mengira bangsa dan membangunkan semula ekonomi dengan tujuan
untuk menghapuskan sebarang kaitan ekonomi dengan sesuatu kaum.
Perdebatan mengenai DEB masih
berterusan. Saya sendiri secara terbuka telah menyatakan bahawa terdapat
kesilapan di dalam pelaksanaannya. Pelaksanaan sistem kuota yang ditetapkan
yang membuka laluan mudah yang menguntungkan segelintir pihak sahaja telah
melahirkan jurang kelas dan status yang besar di kalangan kaum itu sendiri dan
mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat di luar kaum itu
sendiri. Tentu sekali ini mengakibatkan ketegangan di antara kaum.
Kedua-dua keadaan ini hanya
melemahkan, malah menidakkan matlamat rangkuman DEB yang dicetuskan oleh Tun
Razak, iaitu sebenarnya untuk mengukuhkan perpaduan negara.
Di manakah silapnya? Ada yang
berpendapat bahawa kesilapan itu adalah hasil daripada langkah-langkah
afirmatif itu sendiri. Bagi saya ia disebabkan perlaksanaan yang terlalu
tertumpu kepada pendekatan taktikal sedangkan sepatutnya tumpuan dan komitmen
harus diarahkan kepada matlamat yang strategik.
DEB tentu sekali telah membantu
membanteras kemiskinan dan mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi apabila
terbentuknya kelas pertengahan untuk kaum Melayu. Bagaimanapun, boleh dikatakan
pada keseluruhannya DEB terbukti berjaya mengurangkan konflik antara kaum
selepas tragedi 13 Mei.
Bertuah juga kerana nasib
Malaysia tidak seperti Sri Lanka, di mana pergolakan dan perbalahan berterusan
berdekad lamanya di antara pendatang Tamil dan kaum asal Sinhalese.
Pencapaian DEB bukanlah kecil
tetapi matlamat DEB masih belum lagi tercapai kerana DEB sebenarnya adalah
untuk mengukuhkan perpaduan negara. Hakikatnya, ada tanda-tanda sekarang ini
yang menunjukkan ketegangan di antara kaum semakin menjurus ke arah titik yang
membimbangkan.
Apa yang boleh dilakukan? Ada
pepatah Melayu yang berbunyi: “Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan,”
yang bermaksud “apabila kita tersesat, pulanglah ke tempat asal”.
Dan pada hemat saya, perkataan
‘asal’ di sini bererti ‘nilai-nilai’, ‘kesungguhan’, ‘visi’ dan ‘pendekatan
inklusif’; yakni sifat-sifat yang terkandung di dalam diri Tun Razak.
Saya telah pun menyebut tadi
tentang komen-komen mengenai integriti diri beliau, komitmennya terhadap
perkhidmatan awam dan visinya ke arah sebuah masyarakat Malaysia yang
progresif, makmur dan bersatu padu. Izinkan saya mengakhiri dengan menekankan
dua lagi kemuncak legasi beliau.
Pertama, Tun Razak adalah
seorang demokrat yang sejati. Selepas dua tahun mengepalai Majlis Gerakan
Negara (Mageran), ekoran insiden 13 Mei 1969, beliau telah membubarkan
jawatankuasanya dan mengembalikan peraturan demokratik.
Walaupun beliau memegang kuasa
sebagai Ketua Mageran, pandangan dan nilai-nilai yang diterapkan adalah
berasaskan peraturan demokratik dan bukan pemerintahan diktator atau ‘kuku
besi’.
Cara beliau membuat keputusan
membuktikannya: beliau akan mendengar pendapat dari semua yang terlibat dan
berunding secara berhemat sebelum mengambil keputusan muktamad.
Beliau tidak pernah
mengetepikan pandangan daripada mereka yang mungkin bercanggah pendapat
dengannya, malah beliau mengalu-alukan kepelbagaian pendapat supaya peluang
membuat pilihan yang paling tepat terlaksana.
Yang kedua, sementara beliau
berlaku komited untuk membantu kehidupan Bumiputera agar menjadi lebih baik dan
tidak berulangnya lagi tragedi 13 Mei, beliau beranggapan bahawa ini adalah
tanggungjawab negara dan bukan dilakukan
kerana sesebuah bangsa.
Ini, bagi saya, menunjukkan
kesungguhan beliau kerana beliau melibatkan tokoh-tokoh yang terbaik dan pintar
dalam mengusahakan perkara ini, tidak mengira bangsa atau keturunan. Buatlah
semakan dengan mereka yang bertugas sewaktu pentadbiran beliau.
Kesemua mereka adalah rakyat
Malaysia, bersatu padu di dalam keazaman untuk membina semula sebuah negara,
membersihkan ‘debu-debu’ selepas tragedi 13 Mei.
Itulah legasi Tun Razak untuk
Malaysia. Sewajarnya kita memberi penghormatan kepada legasi ini dengan kembali
ke “pangkal jalan”.
Penulis adalah Pengarah
Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB.
Bernama.SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE
14.1.14
No comments:
Post a Comment