12 Januari 2014
TANAH MERAH - Tiga sekeluarga
hampir maut apabila rumah mereka di Kampung Renat, Bukit Bunga di sini dihanyut
arus deras Sungai Golok di Jenob ketika kawasan itu mula dilanda banjir
semalam.
Dalam kejadian kira-kira 12
tengah hari itu, Yaakub Abdullah, 64, anak perempuannya, Huwainun (orang kurang
upaya), 20, dan anak lelaki, Mohd Azwan, 18, berjaya menyelamatkan diri
menggunakan perahu.
Yaakub berkata beliau menyedari
keadaan bahaya itu apabila rumah papan yang didiami bersama isteri dan tiga
anak mereka dirasakan seolah-olah menggelongsor mengikut arus Sungai Golok,
kira-kira tiga meter dari kediaman mereka.
"Ketika kejadian, saya
berada di rumah bersama dua anak untuk menyelamatkan pelbagai barangan manakala
isteri dan seorang lagi anak kami telah ke pusat pemindahan banjir kira-kira
satu kilometer dari rumah kami.
"Bagaimanapun, hujan sejak
4 pagi semalam menyebabkan air naik dengan mendadak dan arus sungai bertambah
deras sehingga menyebabkan rumah saya hanyut," katanya kepada pemberita di
tempat kejadian hari ini.
"Menyedari rumah saya mula
dihanyutkan, saya memanggil kedua-dua anak dan menyelamatkan diri menggunakan
perahu yang ditambat berdekatan rumah.
"Saya bersyukur kerana
cepat bertindak menyelamatkan diri dan pergerakan rumah dihalang beberapa
pokok. Jika tidak, mungkin kami telah dihanyutkan ke Sungai Golok,"
katanya.
Yaakub, seorang penoreh getah,
juga berkata sejak menetap di kampung berkenaan kira-kira 16 tahun lepas,
beliau sering berdepan situasi banjir kerana tinggal di kawasan rendah dan
berdekatan sungai.
"Namun inilah kali pertama
saya berdepan kejadian rumah dihanyutkan arus sungai yang deras," katanya.
Ketua Polis Kelantan Datuk
Jalaluddin Abdul Rahman, yang meninjau keadaan banjir sekitar Tanah Merah hari
ini, turut menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada Yaakub. – Bernama.SUMBER:
SINAR HARIAN ONLINE 12.1.14
No comments:
Post a Comment