MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
10 Januari 2014
Obinna Nwaneri Nwaneri (kanan)
dalam perancangan Darby diturunkan apabila Kelantan bertemu kelab Thailand,
Phattalung FC di Kota Bharu, malam esok.
TONGGAK pertahanan The Red
Warriors (TRW), Obinna Nwaneri mendapat ‘lampu hijau’ daripada pengendali
pasukan, Steve Darby untuk diturunkan apabila berdepan kelab Thailand,
Phattalung FC pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.
Darby berkata, kehadiran semula
bekas pemain kebangsaan Nigeria itu membolehkannya menguji kesemua empat pemain
import TRW buat pertama kali menjelang aksi pembuka tirai Liga Malaysia
(Liga-M), pada 18 Januari ini.
“Ya, saya boleh sahkan Nwaneri
memang berada dalam perancangan saya untuk beraksi malam esok. Saya berharap
dia boleh membentuk kombinasi terbaik dengan rakan sepasukan lain dalam
perlawanan terakhir ini.
“Selepas ini tidak ada lagi
aksi persahabatan. Kami kesuntukan masa kerana saingan liga akan bermula hanya
seminggu lagi. Pemain akan kembali fokus menjalani latihan seperti biasa dan
perlu mengekalkan kecergasan dalam tempoh tersebut,” katanya kepada Sinar
Harian, semalam.
Lebih menggembirakan jurulatih
kelahiran England itu, pemain pertahanan berusia 32 tahun itu, dikatakan
berjaya menurunkan berat badan sebanyak empat kilogram biarpun tidak menyertai
pasukannya sejak sebulan lalu.
“Berita ini sememangnya
mengejutkan saya. Nwaneri pulang ke negaranya untuk bersama isterinya yang
terlantar sakit tetapi dia tetap menjalani latihan sendirian dan memastikan
tahap kecergasannya berada pada tahap tertinggi sebelum kembali ke Kota Bharu,”
katanya.
Mengenai pertemuan menentang
kelab yang beraksi dalam Liga Divisyen Satu Thailand itu, bekas jurulatih Johor
dan Perak itu memberitahu, dia tidak mahu memikirkan keputusan perlawanan
tersebut.
“Saya tidak kisah jika Kelantan
menang 10-0 atau tewas 0-1 sekali pun. Keputusan ini tidak relevan kerana seperti
anda tahu, saya hanya mahu menilai prestasi pemain import dan tempatan sahaja
dalam perlawanan ini,” katanya.
Tambahnya, aksi persahabatan
itu juga membolehkannya merencana strategi tersendiri buat pasukannya,
menggunakan sistem penggiliran apabila peraturan Liga-M musim ini membenarkan
hanya tiga pemain import termasuk seorang dari benua Asia beraksi dalam
perlawanan pada satu-satu masa.
Kelantan akan berdepan naib
juara Liga Premier musim lalu, Sime Darby FC pada aksi sulung saingan Liga
Super di Kota Bharu pada 18 Januari ini sebelum terbang ke Kuching untuk
bertemu Sarawak, seminggu kemudian.
RUJUKAN:SINAR HARIAN ONLINE 10.1.14
No comments:
Post a Comment