DEMI rasa cinta kepada negara,
rakyat negara ini melahirkan kecintaan tersebut dalam pelbagai cara sempena
sambutan kemerdekaan negara yang ke-50. Tujuh rakyat negara ini menyahut
cabaran mendaki Gunung Everest pada bulan Mei lalu dalam satu ekspedisi Merdeka
de’ Everest 2007. Bagaimanapun, hanya enam daripada mereka yang mengibarkan
Jalur Gemilang di bumbung dunia itu pada ketinggian 8,848 meter (29,028 kaki)
dari paras laut.
Datuk Khalid Yunus, 64, selaku
Presiden Persatuan Kembara Negara, merupakan pendaki tertua dalam ekspedisi
tersebut bagaimanapun gagal menyempurnakan misi itu.
Setelah berenang selama
kira-kira 14 jam, perenang dua beradik, Zahra Masoumah Abdul Halim, 15, dan
adiknya Salman Ali Shariati, 10, berjaya menamatkan renangan merentasi Selat
Melaka dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis dengan catatan tiga rekod. Zahra
Masoumah mencatat rekod sebagai perenang perempuan yag pertama berjaya
merentasi selat sejauh 46 kilometer itu manakala Salman Ali Shariati mencatat
rekod sebagai perenang paling muda.
Sebanyak 2,007 pokok bunga raya
ditanam dalam masa 50 saat, sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of
Records (MBR) sebagai satu rekod terpantas.
Pokok bunga itu, ditanam oleh
2,100 warga kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di kampus
mereka di Bangi sempena menyemarakkan lagi sambutan ulang tahun ke-50
kemerdekaan.
Kejohanan Futsal Mahasiswa
Merdeka 50 Jam Tanpa Henti 2007 berakhir dengan penuh bermakna apabila cabaran
itu diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) sebagai kejohanan futsal
paling lama secara berterusan.
Cuma dua kotak biskut seorang,
itulah habuan setelah berpenat-penat selama empat hari tanpa henti untuk satu
tujuan iaitu mencatat rekod memancing paling lama dalam Malaysia Book of
Records (MBR). Ia juga hakikat yang terpaksa diterima oleh 12 pemancing
kumpulan Durafishers yang mencatat rekod memancing 99 jam tanpa henti di Kolam
Pancing Bai-World, Tasik Puteri, Rawang. Pertandingan yang dianjurkan sempena
sambutan 50 tahun merdeka menampilkan semangat patriotik para peserta.
Ahli Putera UMNO, Mohd.
Norazmin Abdul Aziz, 23, berjaya melakukan renangan dari Pulau Rupat, Sumatera,
Indonesia ke Teluk Kemang sejauh 65 kilometer dalam masa 24 jam 33 minit.
Catatan itu sekali gus memecah rekod dunia yang dicatatkan oleh seorang
perenang Jepun pada tahun 1972 yang mencatat masa 25 jam.
Jurugambar Utusan Malaysia,
Mohd. Noor Mat Amin, 40, berjaya menamatkan pendakian terakhirnya bagi
melengkapkan Misi Pendakian Solo 50 Puncak Kinabalu yang dicapainya selepas
ekspedisi selama 64 hari. Beliau yang kini popular dengan gelaran ‘Mr. Solo’
melangkah ke puncak tertinggi Gunung Kinabalu untuk mencatatkan nama dalam
Malaysia Book of Records (MBR) sebagai pendaki pertama yang berjaya mendaki
puncak gunung itu sebanyak 50 kali.
KOSMO ONLINE 5.1.2008
No comments:
Post a Comment