MANIRAH OTHMAN
zaman remaja Foo Chin Wan, 65, sungai Terengganu yang terletak di belakang rumahnya di Kampung Cina, Kuala Terengganu umpama ‘taman permainan’ buat dirinya dan rakan seusia.
Air sungai yang mengalir jernih begitu mengujakan, malah tidak keterlaluan jika dikatakan ia bagaikan skrin kaca besar yang membolehkan sesiapa melihat ikan berenang-renang di tepi sungai itu.
Selain deretan rumah dan kedai kayu, juga aktiviti bot menangkap ikan, tidak banyak pembangunan di sekitar kawasan sepanjang muara sungai Terengganu itu.
“Pada waktu itu juga, Pulau Duyong (kini menjadi lokasi perlumbaan perahu layar Piala Monsun) tidak ada apa-apa.
“Berdekatan kawasan sungai itulah saya selalu melepak dengan rakan-rakan dan berenang serta cuba-cuba menangkap ikan,” katanya kepada KOSMO! ketika ditemui baru-baru ini.
Mengimbau nostalgia bandar Kuala Terengganu, ketika itu aktiviti tertumpu di kawasan pesisir pantai dengan kebanyakan penduduk menjalankan kegiatan menangkap ikan atau perniagaan secara kecil-kecilan untuk menyara hidup.
Juga ketika itu, industri batik, tembaga, songket, pembuatan keris dan pelbagai jenis kraf sudah mula tumbuh, cuma ia dilakukan secara kecil-kecilan.
Ketika ibu bapa sibuk menjalankan aktiviti masing-masing, anak-anak yang sedang membesar menjadikan sungai dan laut yang jernih sebagai tempat bermain sambil mengasah bakat menangkap ikan seawal usia lagi.
Hidup aman, biarpun ketika itu pendapatan yang diperoleh oleh peniaga ataupun nelayan tidaklah lumayan.
Jika sekarang, sepuluh ekor ikan sungai bersaiz sederhana boleh dibeli pada harga RM15, lima dekad lalu, duit sebanyak itu boleh menampung keperluan tersebut selama sebulan.
Ini kerana kuantiti yang sama pada masa itu boleh diperoleh dengan RM1 dan jika kurang berduit, laut terbentang luas boleh membekalkan keperluan yang sama.
Bagi Chin Wan, ketika usianya mula menginjak dewasa, bermain air tidak lagi sesuai dengannya, sebaliknya hobi masa lapangnya mula berubah seiring usia.
Paling popular di bandar Kuala Terengganu ketika itu katanya, ialah pesta joget yang diadakan pada waktu malam di kampung Tiong yang hanya mengenakan bayaran 30 sen sebagai caj masuk.
“Sekali masuk, kita boleh turut sama berjoget,” katanya sambil tersenyum penuh makna.
Pengalaman membesar di Kuala Terengganu ‘lama’ turut dikongsi oleh Razali @ Mohamad Muda, 65 yang lahir di Kampung Tanjung Pantai Teluk dan merupakan anak seorang peraih ikan.
Biarpun tapak rumahnya kini sudah menjadi Medan Selera Tanjung dan pasar ikan tempat ayahnya berniaga sudah menjadi pusat beli-belah Astaka, namun kenangannya masih segar.
“Kebanyakan orang kampung di sini termasuk pak cik-pak cik saya keluar ke laut (nelayan).
“Sementara kaum ibu pula sibuk menjemur ikan untuk dijadikan ikan masin,” katanya.
Baginya, kawasan tempat tinggalnya tidak istimewa, mungkin kerana terbiasa menjadi anak laut, keindahan di kawasan yang banyak ditumbuhi pokok kelapa itu tidak disedari.
“Biasalah perkampungan nelayan, bau hanyir ikan dan bau laut adalah bau kami. Kami sudah biasa,” katanya.
Tetapi pada kebiasaannya, jarang ada orang akan datang ke kampung mereka melainkan apabila selesai musim menuai padi setiap tahun.
“Orang darat (bukan orang yang tinggal tepi laut) akan datang berpesta di sini untuk memulihkan semangat padi,” katanya.
Bagaimanapun menurutnya, perkampungan nelayan termasuk pasar ikan di situ musnah selepas berlakunya banjir besar pada tahun 1962 dan 1986.
“Rumah saya sendiri roboh selepas bencana itu, menyebabkan saya berpindah ke kawasan lain (Pulau Rusa, Manir),” katanya.
Akhirnya, kebanyakan penduduk di kawasan itu juga turut sama berpindah apabila kawasan itu dimajukan dan kurang 10 peratus penduduk asal di kawasan itu masih menetap di sana pada masa ini.
Bagi Omar Awang, yang berasal dan menetap di kampung Losong Haji Su tempat pembuatan keropok lekor yang popular di negeri ini, Kuala Terengganu dulu pernah ada panggung wayang.
“Seingat saya, empat buah kesemuanya (Capitol, Sultana, Rex dan Cathay) dan ia merupakan satu-satunya cara kami berhibur sebab tidak ramai yang ada televisyen ketika itu,” katanya.
Menurutnya, dengan caj antara 15 sen dan 20 sen yang kemudiannya dinaikkan harga kepada 40 sen hingga RM1, mereka sudah boleh menonton wayang.
“Dulu memang seronok, walaupun pendapatan kami tidak lumayan tetapi harga barang semua murah. 30 sen pun dah boleh beli macam-macam,” katanya.
Sementara itu bagi penarik beca, Abdullah Mohamad, 52, perjalanan paling jauh di sekitar bandar Kuala Terengganu hanya mengenakan caj paling mahal sekitar 40 sen hingga 50 sen sahaja sekitar tahun 80-an.
“Sekarang, untuk mendapatkan perkhidmatan yang sama anda perlu sediakan antara RM5 hingga RM10,” katanya.
Namun, itu kisah-kisah dulu. Kini bandar Kuala Terengganu bukan seperti itu lagi apabila sudah berstatus bandar raya mulai hari ini iaitu 1 Januari 2008 – sekali gus setaraf dengan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Selaras dengan usaha tersebut, Kuala Terengganu kini dikenali sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air.
Bagi anak-anak kelahiran Kuala Terengganu, sejak empat tahun lalu, banyak perubahan yang berlaku di bandar ini yang menyaksikan pertumbuhan pusat-pusat pengajian, ekonomi dan banyak lagi.
Biarpun sungainya tidak sejernih dulu, ikan juga tidak lagi nampak di permukaan air, namun bandar Kuala Terengganu dulu dan kini banyak bezanya.
Jika dulu, hendak membeli-belah, hanya boleh didapati di kedai-kedai runcit ataupun satu-satunya pasar raya yang dibina pada tahun 80-an, emporium yang tutup sekitar pukul 10 malam.
Kalau dulu, hobi untuk mengisi masa lapang anak-anak hanyalah dengan memancing atau bermain air dan tidak banyak yang boleh dilakukan oleh orang dewasa apabila selesai bekerja.
Juga dulu, kalau hendak ke daerah berhampiran perlu menggunakan perkhidmatan feri kerana kemudahan jalan jalan raya terlalu terhad dan penyelenggaraan tidak sempurna.
Ini kerana, jika hendak ke Kemaman, ia memerlukan anda untuk menaiki antara empat hingga lima buah feri untuk ke sana.
“Dari Kuala Terengganu kena tukar feri di Marang, kemudiannya tukar di Dungun, kemudian di Paka barulah sampai di Kemaman,” kata Chin Wan.
Namun kini, semuanya sudah berubah kerana di bandar ini sudah ada beberapa buah pasar raya besar dan sudah ada pusat pengajian industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk anak-anak membina masa depan.
Juga ada kemudahan rangkaian jalan raya yang baik selain kemudahan-kemudahan awam yang lain. Di sini juga terdapat Taman Tamadun Islam.
Ia menempatkan sebuah Masjid Kristal selain 21 monumen masjid dari seluruh dunia di Pulau Wan Man yang bakal menjadi tarikan utama pelancong ke bandar raya ini.
Malah, jika pelaksanaan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang sedang dilaksanakan selesai, bandar ini bakal menjadi bandar tercantik di negara ini setaraf dengan Venice di Itali.
“Dulu, bila waktu malam sahaja, semua aktiviti berakhir kerana tidak banyak benda boleh dilakukan pada waktu malam tetapi kini, bandar Kuala Terengganu masih cerah,” kata Razali.
SUMBER: KOSMO ONLINE 1.1.2008
No comments:
Post a Comment