Ad

Thursday, 16 January 2014

PDRM terima sebarang keputusan FAM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my
 
Skuad PDRM meletakkan sasaran untuk menjuarai Liga Perdana musim ini tetapi menjangkakan akan menerima cabaran sengit daripada JDT II, Kedah, Negeri Sembilan, Felda United dan Sabah.
PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan akur dengan sebarang keputusan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap dua pemain pasukan itu yang dikaitkan dengan perbuatan mengatur perlawanan dan rasuah.

Ketika ini dua pemain PDRM iaitu penjaga gol, Azizon Abdul Kadir dan pemain versatil, Mohd. Munir Amran sedang dalam proses soal siasat oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Pengendali pasukan, Dollah Salleh bagaimanapun berkata, selagi belum ada sebarang keputusan mengenai Azizon dan Mohd. Munir, kedua-dua pemain itu akan bermain seperti biasa untuk PDRM.

"Setakat ini mereka sedang disiasat, apa keputusannya belum diketahui tetapi kalau positif (didapati bersalah) saya sudah bersedia," katanya.

Baru-baru ini, sepuluh pemain Kuala Lumpur iaitu Hishamuddin Othman, Ahmad Jihad Ismail, Mohd. Munir Amran, Syafiq Johari, Badrul Hisyam Azmi, Mohd. Ar'ra'uf Roslee, Ahmad Dashila Tajudin, Muhd. Rafef Raya, Muhd. Hanis Mohtar dan Muhd. Taufiq Mohd. Shukor dipanggil oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk disoal siasatan manakala seorang lagi pemain, Syazwan Syahlan tidak dipanggil.

Mengulas mengenai tindakan yang akan diambil sekiranya kehilangan kedua-dua pemain itu jika didapati bersalah, Dollah berkata PDRM masih memiliki 25 pemain yang boleh beraksi dengan baik.

Sementara itu, katanya, sasaran PDRM untuk muncul juara Liga Perdana musim ini adalah suatu tugasan berat yang harus dipikulnya dan anak-anak buahnya perlu bekerja keras selain segera mewujudkan keserasian bagi membentuk pasukan yang mantap.

Katanya, pasukan itu masih terumbang-ambing dari segi keserasian selain agak goyah di bahagian tengah dan pertahanan tetapi terdapat sedikit peningkatan.

Beliau mengakui, cabaran kali ini bukan sesuatu yang mudah kerana semua pasukan termasuk Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Kedah, Negeri Sembilan, Felda United dan Sabah dilihat sudah bersedia termasuk mendapatkan pemain-pemain berkualiti untuk merebut kejuaraan.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140116/su_07/PDRM-terima-sebarang-keputusan-FAM#ixzz2qYZwvhvA © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment