RONALDO (tengah) dinobatkan
sebagai Pemain Terbaik Dunia 2013 buat kali kedua kelmarin selepas tahun 2008.
LONDON - Penyerang Real Madrid,
Cristiano Ronaldo mengakui yang dia pernah terfikir mengenai Manchester United
pada musim panas lalu.
Ronaldo, 28, berkata, situasi
tersebut berlaku selepas pemain pertahanan United, Rio Ferdinand cuba
'memujuknya' untuk kembali ke pangkuan bekas kelabnya itu.
Penyerang Portugal itu yang
baru dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Dunia 2013 (Ballon d'Or) buat kali kedua
selepas 2008 dikaitkan dengan kepulangan ke Old Trafford selepas berhijrah ke
Madrid pada 2009.
Selepas merangkul anugerah
tersebut, Ronaldo mengakui yang United sentiasa kekal dalam hatinya.
"Benar, Ferdinand ada
bertanyakan kepada saya. Dia adalah sahabat baik saya dan kami banyak
menghabiskan masa bersama ketika saya berada di United.
"Malah, Ferdinand adalah
jiran saya ketika saya menetap di Manchester.
"Dia merupakan seorang
pemain yang hebat dan cuba mengubah fikiran saya. Saya pernah terfikir mengenai
United. Mereka masih berada dalam hati saya.
"Itulah kelab yang saya
beraksi selama enam tahun dan saya amat menyintai United. Saya ada ramai
sahabat di sana dan saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada
mereka," kata Ronaldo.
Ronaldo berjaya menewaskan
pencabar terdekat, Lionel Messi dan Franck Ribery dalam perebutan anugerah
Pemain Terbaik Dunia 2013.
Ronaldo telah menjaringkan 66
gol sepanjang 56 perlawanan bersama Real dan skuad kebangsaan tahun lalu
termasuk hatrik ketika membantu Portugal layak ke pentas Piala Dunia 2014.
Portugal menewaskan Sweden 4-2
secara agregat pada aksi playoff. - Agensi
KOSMO ONLINE 16.1.14
No comments:
Post a Comment