Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD-hafiz.ahmad@utusan.com.my
SUBANG - Tanda tanya siapa
ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya sama ada warga asing atau anak
tempatan, bakal terjawab pada pertengahan bulan ini atau paling lewat pun,
sebelum penghujung bulan Januari.
Naib Presiden Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan bekas jurulatih
Piala Dunia Jepun 2002 dari Perancis, Philippe Troussier sebagai antara tiga
calon warga asing selain tiga anak tempatan yang kini berada dalam senarai
pendek persatuan.
"Troussier salah seorang jurulatih
yang dikenal pasti. Saya tidak nafikan pengalamannya yang telah banyak membawa
negara Afrika ke Piala Dunia. Selain itu, ada juga tiga jurulatih asing Eropah
dan seorang dua anak tempatan dalam senarai.
"Namun sama ada jurulatih
luar atau tempatan, biarlah selepas mesyuarat Exco (Jawatankuasa Eksekutif) dan
Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) yang umum. Kami memang hendak dapatkan seorang
jurulatih secepat mungkin bagi perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia (di
Yemen, 5 Mac ini).
"Saya rasa dalam dua
minggu, pertengahan Januari, InsyaAllah kita akan umum jurulatih baharu yang
akan memimpin Harimau Malaya," katanya pada Jelajah Trofi Piala Dunia FIFA
2014 di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini, semalam.
Kata Subahan, yang juga Exco
dan Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM, Datuk Ong Kim Swee kekal
sebagai jurulatih sementara kerana beliau perlu meninjau perlawanan Liga
Malaysia dan mengenal pasti pemain yang boleh dipanggil bagi latihan pusat
skuad negara.
"Kami akan buat latihan
pusat pada penghujung Februari dan pada 1 Mac, pasukan negara akan berdepan
Filipina bagi perlawanan persahabatan sebelum ke Yemen," katanya.
Katanya lagi, kedudukan Kim
Swee juga bukan masalah besar memandangkan jurulatih Harimau Muda A itu
dijangka masih berada dalam perancangan persatuan dalam menyediakan skuad bawah
23 tahun menghadapi Sukan Asia XVII Incheon, September ini.
Sementara itu, penjelajahan
trofi Piala Dunia ke 88 buah negara tiba di Malaysia semalam.
Trofi bola sepak paling
berprestij itu tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang
menaiki pesawat khas dengan diiringi oleh Duta FIFA dan bekas penyerang
Manchester United, Dwight Yorke dan Pengurus Bola Sepak Global Coca-Cola, Anna
Maria Gazda.
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140104/su_02/Pengganti-Rajagobal-diumum-bulan-ini#ixzz2pNY7ipq9
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment