Ad

Saturday, 25 January 2014

'Saya bukan kritik FAM'

Oleh Mohd Fitrie Muhamad | mfitrie@bh.com.my 

Selayang: Pengendali Sime Darby FC, Ismail Zakaria menjelaskan beliau hanya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan, bukan mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas pasukan bimbingannya tewas 1-2 kepada Kelantan pada aksi Liga Super, Sabtu lalu.

“Saya tidak mengkritik FAM. Bagi saya ia tidak ada apa-apa cuma sekadar meluahkan perasaan saya ketika itu. Kenyataan saya itu sekadar rasa tidak puas hati, itu saja!,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan antara Sime Darby dan Pahang di Stadium Selayang, malam tadi.


Ulas laporan BH Sukan


Pada perlawanan itu, Sime Darby menang 1-0 ke atas skuad Tok Gajah hasil jaringan tunggal Fahrul Razi Kamaruddin pada minit ke-50.

Ismail mengulas laporan BH Sukan semalam mengenai ketua jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B Sathianathan dan beliau berdepan hukuman maksimum digantung dua tahun sekiranya didapati bersalah mengkritik mutu pengadilan aksi Liga Super.

FAM akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada dua jurulatih itu sekiranya Jabatan Undang-Undang badan induk itu yang diarah mengkaji kenyataan mereka mendapati ia bukan berbentuk pandangan, sebaliknya kritikan.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak, berkata pihaknya mengeluarkan arahan kepada jabatan itu untuk mengkaji kenyataan dua jurulatih terbabit.

“Terserah kepada FAM untuk menilai kerana mereka pastinya lebih arif mengenai perkara ini dan apa-apa keputusan pun terpulang kepada mereka,” kata Ismail.

Sementara itu, Sathianathan ketika dihubungi enggan mengulas isu berkenaan kerana ingin memberi fokus kepada skuad ATM dalam aksi Liga Super musim ini.
Berita Harian online 26.1.14


No comments:

Post a Comment