Ad

Saturday, 4 January 2014

Sebatik Indonesia lebih membangun

 
ABDUL Muis Picho menunjukkan bot penumpang di Jeti Tanjung Batu Log Pond.
MESKIPUN banyak perubahan yang dibawa selama dua penggal menduduki kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho (gambar) mengakui masih banyak perlu dilakukan dalam usaha memantapkan ekonomi penduduk selain memberi kemudahan infrastruktur lebih baik kepada kira-kira 20,000 rakyat Malaysia yang mendiami pulau berkeluasan 452 kilometer persegi itu.

Menurutnya, ada kalanya beliau berasa malu apabila melihat kemajuan ditunjukkan oleh wilayah Sebatik milik Indonesia biar pun hakikatnya amat ramai warga Indonesia yang mencari nafkah di Malaysia ekoran limpahan rezeki dan nikmat yang ada di negara ini.

"Saya akui, keadaan Sebatik di Indonesia lebih maju berbanding Sebatik Malaysia. Jalan raya di sana jauh lebih baik, malah keadaan di Sungai Nyamuk (pekan di Sebatik Indonesia yang terdekat dengan Sebatik Malaysia) juga lebih elok.

"Memanglah tidak sebesar Tawau tetapi aktiviti perdagangan mereka di sana berjalan rancak berbanding Sebatik sebelah sini yang lebih mengharapkan Tawau.

"Saya sudah membawa perkara ini ke Dewan Undangan Negeri dan menyatakan cadangan agar Sebatik Malaysia dijadikan pulau bebas cukai bagi merancakkan ekonomi penduduknya. Diharap cadangan itu dapat diberi perhatian oleh kerajaan negeri," katanya.

Kata-kata Abdul Muis itu ada benarnya. Pemerhatian S2 mendapati penduduk di Kampung Sungai Melayu yang terletak betul-betul di sempadan Malaysia-Indonesia terpaksa membuat pendawaian sendiri ke rumah-rumah jiran yang terletak di wilayah Indonesia bagi mendapatkan bekalan elektrik dengan bayaran antara RM40 ke RM50.

Selain itu, ketika jiran-jiran di Indonesia sudah lama mendapat bekalan air bersih, Kampung Sungai Melayu itu masih lagi mengharapkan air hujan untuk menjalani kehidupan seharian,

Abdul Muis menambah, cadangan untuk mewujudkan bandar bebas cukai itu mampu mendatangkan keuntungan besar kepada penduduk memandangkan fakta diperolehi beliau mengatakan warga Indonesia berbelanja melebihi RM200,000 sehari untuk mendapatkan barangan dari Tawau.

"Jika ke Tawau, mereka perlu menaiki bot. Bayangkan bagaimana jika segalanya ada di Sebatik. Sudah tentu lebih banyak yang mereka belanjakan di sini sekali gus meningkatkan taraf ekonomi penduduk," ujarnya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140104/lk_02/Sebatik-Indonesia-lebih-membangun#ixzz2pR7gj8Nm © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment