Oleh
Rizar Mohd Noor
Pemain Lions XII, Sufian Anuar
(tengah) mengasak pemain Selangor, K Gurusamy di Stadium Jalan Besar, malam
tadi.
Singapura: Lions XII terus gah
ketika beraksi di padang rumput tiruan apabila mencipta kemenangan pada minit
akhir perlawanan menewaskan Selangor 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Jalan
Besar, malam tadi.
Skrip perlawanan nyata dikuasai
Selangor yang mempamerkan aksi menarik menerusi umpanan pendek sehingga anak
didik Fandi Ahmad pada awalnya jelas terpaku dengan corak taktikal itu.
Dalam tempoh 20 minit babak
pertama tuan rumah bagaikan hilang arah dengan penguasaan permainan anak didik
Mehmet Durakovic sehingga buntu membuat percubaan berbahaya ke arah gawang
Selangor yang dikawal, Farizal Marlias.
Ledak gol pertama
Hanya pada minit ke-36, Lions
XII hampir mencemaskan benteng pertahanan Selangor apabila bola umpanan Sufian
Anuar membuka ruang kepada Khairul Amri yang sempat memperdayakan pertahanan
pelawat, namun bola rembatan sekadar melepasi palang gol.
Peluang terbaik Selangor untuk
mencipta jaringan hadir pada minit ke-40 berpunca sepakan percuma Junior
Aparecido yang sedikit tersasar dari gawang gol.
Lions XII turut hampir
meleraikan kebuntuan jaringan selang tiga minit kemudian selepas bola sepakan
Hafiz Sujad sekadar singgah palang gol.
Namun tuan rumah mendahului 1-0
selepas bola sepakan sudut Zulfahmi Arifin pada minit ke-44 berjaya ditanduk
Shakir Hamzah untuk menewaskan Farizal yang hanya mampu melihat bola menerjah
jaring.
Selepas bertali arus mengasak
ke kubu Lions XII akhirnya Selangor bangkit menyamakan kedudukan pada minit
ke-57 berpunca dari sepakan sudut Aparecido tempat kepada Fitri Shazwan yang
menanduk deras sehingga penjaga gol, Izwan Mahbud gagal menepis bola daripada
menerjah jaring.
Namun, berpunca dari `set
piece' menerusi sepakan sudut daripada Shafiq Ghani pada minit akhir perlawanan
menyaksikan Khairul Amri menanduk bola untuk memastikan kemenangan buat Lions
XII.
Berita Harian online 26.1.14
No comments:
Post a Comment