Oleh NORHIDAYU MOHD. HASSAN
pengarang@utusan.com.my
Kerja pembersihan dijalankan di
lokasi tanah runtuh di jalan Mahameru, Kuala Lumpur dekat Jabatan Perhutanan,
semalam. - UTUSAN/JEFFRI IRAN
KUALA LUMPUR 7 Jan. - Ribuan
pengguna jalan raya yang dalam perjalanan pulang dari kerja melalui Jalan
Mahameru, di sini terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas teruk sejauh
kira-kira lima kilometer berikutan berlakunya kejadian tanah runtuh di kawasan
itu petang ini.
Kejadian itu merupakan kali
kedua tanah runtuh di tebing setinggi kira-kira 12 meter tersebut dengan yang
pertama berlaku pada 8 Mei tahun lalu.
Dalam kejadian terbaharu
kira-kira pukul 5.15 petang itu, kesesakan lalu lintas dikesan berlaku di
sepanjang jalan dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menghala ke Bangunan
Parlimen dan Jalan Istana.
Ini berikutan tanah runtuh itu
menghalang lalu lintas sehingga menyebabkan Jalan Mahameru terpaksa ditutup dan
pengguna terpaksa dilencongkan ke Jalan Parlimen untuk kerja pembersihan
sebelum dibuka selorong dan seperti biasa pukul 7.20 petang.
Kejadian itu bagaimanapun tidak
membabitkan kerosakan kenderaan atau mangsa terlibat.
Pengarah Jabatan Bomba dan
Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pekerja Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur (DBKL) yang lebih awal tiba di lokasi telah mengawal keadaan dan
membuka satu lorong untuk pergerakan kenderaan.
Jelas beliau, pihaknya menerima
panggilan kecemasan daripada orang ramai pukul 5.23 petang sebelum 13 anggota
dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul dan Sri Hartamas bersama dua buah
jentera ke lokasi tidak lama kemudian untuk bantuan sekiranya berlaku kejadian
tidak diingini.
"Kejadian runtuhan tanah
dari tebing tepi jalan itu mungkin berlaku disebabkan faktor hujan yang
berterusan selama kira-kira sejam.
"Tanah yang memasuki
laluan jalan dianggarkan berkeluasan lebih kurang 100 meter persegi dan
kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan," ujarnya ketika dihubungi di
sini.
Dua laluan yang terlibat dengan
kejadian itu dibuka untuk laluan kenderaan mulai pukul 10.15 malam ini.
sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140108/dn_18/Tanah-runtuh-ribuan-terperangkap#ixzz2poCsrIzQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment