Kapten JDT, Aidil Zafuan Abd
Razak (dua dari kiri) menyerahkan cenderahati kepada Bambang sambil
diperhatikan Jimenez (kiri) dan Antonic (kanan) di Johor Bahru, semalam. - Foto
HAIRUL ANUAR ABD RAHIM
Johor Bahru: Pengendali Johor
Darul Ta'zim (JDT), Cesar Ferrando Jiminez berharap kelab Liga Super Indonesia
(ISL), Pelita Bandung Raya yang ditentang dalam aksi persahabatan di Stadium
Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini mampu ‘menelanjangkan’ kelemahan skuad
bimbingannya.
Harapan Jiminez itu tidak sukar
ditafsirkan kerana dia mahu mengetahui sejauh mana prestasi sebenar pemain dan
berharap dengan kelemahan yang dikesan membolehkannya memperbaikinya menjelang
saingan Liga Super yang disingkap tirainya, 18 Januari ini.
Apa lagi dalam saingan tiga
perlawanan persahabatan sebelum ini, JDT tampak tidak berdepan masalah apabila
mudah membelasah dua kelab Singapura, Tampines Rovers 7-1 dan Hougang United 3-
0 serta Melaka United 4-1 kelmarin.
“Kita sudah mengharungi tiga
perlawanan persahabatan dan kesemuanya mencatat rekod bersih kemenangan dan
aksi menentang kelab dari Indonesia itu penting buat saya untuk mengetahui
tahap sebenar pemain JDT.
Bambang perkuat Pelita
“Saya harap mereka mampu
memberi cabaran bermakna kepada kami dan sudah tentu saya akan turunkan barisan
terbaik pada perlawanan itu kerana mahu pemain meraih pengalaman berguna
beraksi pada perlawanan yang kompetitif biarpun ia aksi persahabatan,” katanya
dalam sidang media, semalam.
Sememangnya aksi JDT menentang
Pelita Bandung Raya yang pada musim lalu sekadar menamatkan saingan ISL di
tangga ke-15 penting buat Jiminez yang akan menurunkan kelibat tiga tenaga
import - Pablo Aimar, Baihakki Khaizan dan Luciano Figueroa.
Sementara itu, jurulatih Pelita
Bandung Raya, Dejan Antonic yang pernah membimbing Arema FC pada musim lalu
amat teruja untuk menentang JDT, apa lagi selepas kelab itu melakukan rombakan
dengan mengikat bekas penyerang Indonesia, Bambang Pamungkas dan turut
diperkuatkan dua pemain Garuda Muda, Mokhamad Syaifuddin dan Rizky Pellu yang
membantu skuad itu meraih pingat perak pada Sukan SEA Myanmar, baru-baru ini.
“Skuad yang saya bimbing lebih
80 peratus adalah mukabaru dan pasukan ini dalam rangka persiapan mengharungi
saingan ISL bermula bulan depan,” katanya.
Berita Harian online 7.1.14
No comments:
Post a Comment