Ad

Friday 3 January 2014

The Gladiators masih berbisa

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
Hishamuddin Tun Hussein dan Zulkifeli Mohd. Zin beramah mesra dengan pemain import baharu ATM, Juan Manuel Arostigui pada majlis pelancaran jersi ATM di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH
KUALA LUMPUR - Pengekalan muka-muka lama yang telah beraksi bersama sejak tiga musim lalu menjadi senjata paling ampuh buat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mensasarkan mahu mendakap sekurang-sekurangnya satu trofi pada saingan Liga Malaysia musim ini.

Keyakinan tinggi itu dilahirkan oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin yang juga Pengerusi Persatuan Bola Sepak ATM.

Beliau percaya, The Gladiators mempunyai ramuan mencukupi untuk menjadi antara pencabar kejuaraan.

Ditambah dengan kehadiran bekas penyerang Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), Juan Manuel Arostegui memperkasakan barisan hadapan, selain pertahanan dari Australia, Spase Dilevski, kekuatan ATM jelas begitu menyeluruh di setiap pelosok bahagian.

Malah dalam masa sama, beliau tidak menafikan kesebelasan pemain yang dimiliki oleh ATM musim ini antara yang terkuat sambil memberi amaran tiada siapa mampu memperlekehkan cabaran The Gladiators selepas kempunan menjulang trofi pada musim lalu.

''Sasaran kami sama seperti mana musim lalu, iaitu mendapatkan satu trofi daripada mana-mana tiga kejohanan, saya tahu saingan kali ini begitu mencabar tetapi itu tidak menjadi penghalang kepada ATM.

''Pasukan kali ini lebih mantap kerana dapat mengekalkan sebahagian besar pemain, malah mereka telah bersama pasukan sejak dua tahun lalu dan beberapa kelemahan yang kita kenal pasti telah berjaya diatasi oleh jurulatih, B. Sathianathan.

''ATM mempunyai kepelbagaian pemain dalam pasukan dan berdasarkan kekuatan yang ada, pasukan ini ada kualiti menjadi pencabar kepada pasukan lain, " katanya yang ditemui pada sidang akhbar majlis pelancaran jersi ATM di Hotel Royale Chulan, semalam.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Biarpun kehilangan Shukor Adan di bahagian pertahanan, selain A. Varanthan dan Suhaimi Ishak, ATM berjaya mendapatkan beberapa bekas pemain berpengalaman dari Felda United, Mohd. Riduwan Ma'on, Mohd. Akmal Mohd. Noor, Ahmad Fauzi Saari dan Rudie Ramli.

Ketiadaan penjaga gol, Mohd. Farizal Harun juga tidak membimbangkan Sathianathan, yang pantas menyambar khidmat dua penjaga gol, Syed Adney Syed Hussien dan Mohd. Iqbal Suhaimi.

Bagi Sathianathan, yang mensasarkan mahu membawa ATM beraksi di Piala AFC pada tahun hadapan, kehadiran Dilevski yang merupakan bekas pemain Tottenham Hotspur dan PSV Eindhoven, cukup penting kepada pasukan kerana mampu bertindak sebagai pemain pertahanan atau tengah bertahan serta mampu menjadi pengganti setanding kepada Shukor.

''Kelemahan di bahagian pertahanan sudah dapat diatasi dengan adanya Dilevski yang dijangka menjadi kunci utama pasukan. Amirizdwan (Taj Tajuddin) dan K. Reuben juga mampu memberikan aksi lebih baik kerana mereka berdua merupakan pemain kebangsaan.

''Selain itu, tugas saya juga adalah memulihkan semula keyakinan beberapa pemain yang datang dari Felda United. Mereka nampak seperti sedikit kehilangan sentuhan dan perlu cepat bangkit," katanya lagi.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140104/su_03/The-Gladiators-masih-berbisa#ixzz2pNhJBPVX © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment