KUALA LUMPUR - Menteri Belia
dan Sukan, Khairy Jamaluddin tidak mahu post-mortem yang bakal dilakukan
terhadap prestasi kontinjen Sukan SEA negara dalam tempoh dua minggu ini
sekadar satu proses bedah siasat biasa.
Sebaliknya, beliau mahu Majlis
Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tampil bersama cadangan
bagaimana hendak mengatasi kemerosotan prestasi yang dialami beberapa sukan
seperti olahraga, renang, sepak takraw, berbasikal dan badminton.
"Saya bagi masa kepada
mereka untuk tampil dengan cadangan bagaimana dapat mengatasi masalah dan tidak
mahu ia sekadar menjadi mesyuarat post morterm semata-mata.
"Ada beberapa sukan kita
menunjukkan penurunan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini dan MSN
perlu melakukan pembaharuan untuk mrngatasinya," katanya selepas
merasmikan kempen 'Riuh di Brazil' bersempena Piala Dunia FIFA 2014 di Sri
Pentas, Bandar Utama, di sini semalam.
Yang turut hadir Duta FIFA,
Dwight Yorke dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media
Prima, Ahmad Izham Omar.
Dalam pada itu, Khairy juga
mahu Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan MSN mengadakan
perbincangan bagi meningkatkan prestasi sukan berbasikal khususnya dalam acara
lebuh raya.
Beliau mengakui, berlaku
sedikit pergeseran di antara pelumba dengan pengurusan persatuan sehingga
menyebabkan penurunan yang ketara.
Khairy berkata, beliau akan
menghubungi Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abdul Wahab dan Timbalan Presiden,
Datuk Naim Mohamad bagi menyelesaikan masalah dalaman persatuan itu.
"Saya berharap mereka
dapat duduk sekali untuk melihat perkara ini dan menyelesaikannya secara
konstruktif," katanya.
Sementara itu, dalam usaha
mewujudkan integriti dalam kalangan atlet negara, Khairy memberitahu pihaknya
sudah mengadakan kerjasama dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan Institut
Integriti Malaysia bagi mewujudkan program-program untuk memberi pendedahan
serta pendidikan mengenainya.
Katanya, pihaknya turut
menjalinkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhajaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) dan Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi tindakan
penguatkuasaan bagi mengatasi isu rasuah.
Piala Dunia 2014 akan membuka
tirainya 12 Jun ini di Arena Sao Paolo, Brazil dengan perlawanan pembukaan
menyaksikan tuan rumah bakal berhadapan Croatia.
Sempena kempen Riuh di Brazil,
Media Prima Berhad akan menyediakan pelbagai program menarik melalui platform
media bersepadu yang bernaung di bawah kumpulan itu selain liputan berita
meluas serta keputusan terkini berkaitan bola sepak.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140104/su_04/Bukan-post-mortem-biasa---Khairy#ixzz2pNiSv9Ay
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment