KUALA LUMPUR - Isu pertukaran
logo Hijau Kuning dengan menggunakan burung helang sebagai lambang terbaru
dilihat sebagai kaedah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) melarikan diri daripada
berdepan realiti sebenar terhadap persiapan sambil lewa pasukan itu bagi
menghadapi saingan Liga Perdana musim ini.
Jelas Presiden Kelab Penyokong
Bola Sepak Kedah, Nor Hasmadi Hamzah, tindakan KFA itu bagaikan mencurah minyak
ke dalam api kerana selain kecewa melihat tiada pengambilan pemain-pemain
ternama bagi musim terbaru, apa yang mereka lakukan seperti tidak kena caranya
kerana mahu menghapuskan identiti Kenari yang sudah cukup sinonim dengan
pasukan bola sepak Kedah.
Baginya, penggunaan burung helang
sebagai lambang terbaru sebagai alasan kononnya lebih gagah langsung tidak
memberikan sebarang manfaat dan seolah-olah mahu mengetepikan peninggalan yang
dibawa bapa pembangunan bola sepak Kedah, Allhayarham Datuk Paduka Ahmad Basri
Mohd. Akil apabila menghapuskan logo lama.
''Persoalan utamanya sekarang
mengapa tiba-tiba pengurusan baru KFA memperkenalkan logo baru ini tanpa
berbincang terlebih dahulu dengan kelab penyokong Kedah dan kelab-kelab
gabungan lain apabila terus diluluskan dalam Kongres KFA 2013.
''Bagi saya apa yang mereka
buat seolah-olah mahu mengalihkan perhatian peminat-peminat bola sepak Kedah
terhadap persiapan pasukan yang dilihat begitu longgar bagi berdepan musim
terbaru.
''KFA di bawah pengurusan
Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir telah memperuntukkan sebanyak RM
10 juta tetapi jika dilihat daripada para pemain yang mereka ambil, jelas sama
sekali tidak berbaloi dan ia boleh dilihat semasa beberapa perlawanan
persahabatan yang telah dibuat, " katanya ketika dihubungi, semalam.
Hasmadi juga menarik minat
dengan pemilihan pemain import yang mencetuskan tanda tanya kerana langsung
tidak diadakan sebarang pemilihan dan mereka semua diambil begitu sahaja.
''Saya sedikit hairan dengan
apa yang KFA lakukan dalam soal pengambilan pemain import, ketika kebanyakan
pasukan lain mengambil kesempatan menguji para pemain berulang kali bagi
mendapatkan pemain yang betul-betul terbaik, Kedah pula sebaliknya.
''Mereka langsung tidak diuji
sama ada dalam perlawanan persahabatan atau latihan, tetapi diambil terus
begitu sahaja dan kami semua tertanya-tanya mengapa boleh terjadi sebegitu, apa
yang kami bimbangkan nanti semua pemain ini sekadar tangkap muat sahaja di
dalam pasukan, " katanya.
Apa yang menjadi rintihan
penyokong Kedah itu ada benarnya kerana tiada sebarang pemain besar berjaya
dibawa masuk selain hanya mampu mengekalkan Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi
Johari dan Khyril Muhymeen di dalam pasukan serta memanggil pulang beberapa muka
lama.
Bekas pertahanan import
Selangor, Adam Griffiths menjadi salah seorang pemain import Kedah selain
Adriano Pellegrino, Billy Mehmet dan Jose Franco Gomez.
Menjelaskan lagi isu penukaran
logo, dia mengingatkan KFA agar sama sekali jangan menolak ke tepi perasaan
para penyokong Kedah yang tidak pernah berbelah bahagi memberikan sokongan
kepada pasukan walaupun terpaksa bersaing dalam Liga Perdana.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140104/su_05/Tukar-logo-burung-helang-KFA-sengaja-alih-isu#ixzz2pNmF1nSD
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment