Ad

Friday, 3 January 2014

Kapten Myanmar pelengkap skuad Seladang

 Kyaw Zayar Win menjalani latihan bersama skuad Perak di Ipoh, semalam.
IPOH - Kapten skuad Bawah 23 Tahun Myanmar, Kyaw Zayar Win akhirnya menyertai skuad Seladang semalam, sekali gus melengkapkan senarai skuad Perak untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Masih dihantui dengan kegagalan membantu pasukannya memenangi pingat emas Sukan SEA di negara sendiri bulan lalu, Zayar Win, 23, yang tiba di Ipoh malam kelmarin, tidak mahu berehat panjang sebaliknya terus menyertai latihan bersama pasukan baharunya semalam.

Walaupun masih belum cukup cergas kerana dia mengambil keputusan berehat selama dua minggu sebaik sahaja berakhirnya Sukan SEA tempoh hari, Zayar Win tetap bersemangat menjalani latihan semalam.

Menurutnya, dia gembira kerana akhirnya dapat menyertai skuad Seladang dan berazam untuk membantu Perak menjadi antara pasukan terbaik dalam liga tempatan.

"Setelah menandatangani kontrak bersama Perak sejak sebelum Sukan SEA lagi, sudah tentu saya gembira kerana akhirnya dapat bersama pasukan ini.

"Saya akan menggunakan segala kemahiran dan pengalaman saya untuk membantu pasukan ini. Saya berharap kehadiran saya diiringi tuah seperti mana bekas pemain dari Myanmar yang pernah mewakili Perak sebelum ini iaitu Aung Ning dan Kwin Lyin," katanya ketika ditemui selepas latihan pasukan Perak di sini semalam.

Aung Ning dan Kwin Lyin merupakan gandingan pemain dari Myanmar yang membantu Perak memenangi Piala FA pada tahun 1990.

Ketibaan Zayar Win melengkapkan kuota empat pemain import skuad Seladang yang sebelum ini turut menyambar pemain Burkina Faso, Martin Kafando; pemain Bosnia, Zelemir Terkes dan pemain Brazil, Eliel da Cruz Guardiano.

Zayar, yang tiba bersama isterinya berkata, dia mahu melupakan episod malang bersama skuad kebangsaannya, Myanmar yang gagal melepasi saingan peringkat kumpulan acara bola sepak pada Sukan SEA di bumi sendiri.

Dia yang hanya menjaringkan satu gol ketika menentang Timur Leste tidak rela detik malang itu terus menghantuinya dan berharap ia dapat ditebus dengan kegemilangan bersama Perak.

"Seluruh Myanmar merasai kekecewaan kerana skuad bola sepak kami gagal di bumi sendiri. Saya tidak mahu mengenang lagi kegagalan itu, saya mahu membuka episod baru bersama Perak," katanya.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140104/su_06/Kapten-Myanmar-pelengkap-skuad-Seladang#ixzz2pNqkVZ5j © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment