Oleh Shahrinnahar Latib-nahar.latib@Utusan.com.my
Penyerang Pahang, Azamuddin
Mohd Akil (kiri) dijatuhkan pemain Lions Muhammad Zulfahmi (kanan) pada
pertandingan merebut Piala Sumbangsih di Stadium Darul Makmur malam tadi. -
UTUSAN/MAHATHIR ALI
KUANTAN - Matias Ruben Conti
meraikan hari jadi yang ke-24 dengan penuh bermakna apabila menjadi penjaring
gol kemenangan untuk membantu Pahang merangkul Piala Sultan Ahmad Shah dengan
menewaskan LionsXII 1-0 di Stadium Darul Makmur semalam.
Conti layak dilabel sebagai
'hero ' Tok Gajah kerana pada musim lalu, dia turut menjadi watak penting
kepada kejayaan Pahang menjuarai Piala Malaysia.
Kali ini jaringan tunggalnya
pada minit ke-57 sudah cukup menjulang skuad kendalian Ronald Smith selepas
menyambar bola muntah penjaga gol LionsXII, Izwan Mahbud bagi memastikan Pahang
memulakan musim 2014 dengan langkah kanan.
Kali terakhir Tok Gajah
menjuarai kejohanan itu pada 1993.
Sememangnya pasukan Pahang
layak meraih kejuaraan apabila menguasai sebahagian besar permainan, malah
boleh menang dengan gol lebih besar cuma dihampakan oleh ketumpulan Conti
sendiri selain kekebalan Izwan.
Hadiah kemenangan disampaikan
oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah
Sultan Ahmad Shah sambil diiringi oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang
(PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.
Disaksikan kira-kira 30,000
penyokong setia, Tok Gajah sedikit kecewa apabila bekas pemain import Kelantan,
Dickson Nwakaeme terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-14 kerana masalah
kecederaan dan digantikan dengan Conti.
Conti tidak menunggu terlalu
lama untuk cuba merobek pertahanan LionsXII pada minit ke-22 namun sepakan
guntingnya tersasar jauh daripada gawang lawan sebelum empat minit kemudian.
Walaupun diasak bertubi-tubi,
Lions XII mampu mencari ruang untuk melancarkan serangan pada minit ke-29
apabila larian solo Khairul Amri dari tengah padang berjaya menyusup masuk ke
dalam kotak penalti Pahang.
Mujur penjaga gol, Khairul
Azhan Mohd. Khalid pantas menepis keluar bola percubaan penyerang berusia 28
tahun berkenaan.
Lawan sekali lagi mencemaskan
penyokong tuan rumah apabila Muhammad Sufian Anuar melepaskan rembatan jarak
jauh yang melepasi palang gol Pahang pada minit ke-37.
Memasuki babak kedua, Pahang
dilihat memberikan banyak ruang kepada pemain muda, Abdul Malik Mat Ariff untuk
bergerak di bahagian tengah yang jelas menjadi kunci kepada serangan-serangan
Tok Gajah.
Hasilnya, melalui gerakan
satu-dua bersama Azidan Sarudin, pemain bertubuh kecil itu berjaya meloloskan
diri secara berseorangan ke dalam kotak penalti LionsXII.
Dengan tamatnya perlawanan
Sumbangsih bermakna, Liga Malaysia 2014 kini dibuka secara rasmi.
Kemenangan semalam turut
memberikan tiga mata buat Pahang dalam saingan liga.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140118/su_01/Tok-Gajah-menang-lagi#ixzz2qkKmeOmA
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment