KAMALANATHAN
KUALA LUMPUR - UMNO akan
memberikan surat tunjuk sebab kepada seorang anggotanya yang didakwa telah
menumbuk Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan baru-baru ini, kata
Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau berkata, surat itu perlu
dijawab individu terbabit, sebelum tindakan lanjut diambil.
"UMNO memandang serius
terhadap tindakan tersebut dan kepimpinan tertinggi parti berasa kesal dengan
insiden itu dan menganggapnya sebagai tidak sewajarnya berlaku," katanya
dalam satu kenyataan semalam.
Tengku Adnan berkata, UMNO
menolak tindakan kekerasan dalam apa-apa penyelesaian masalah sebagaimana yang
telah dilakukan oleh pihak terbabit terhadap Kamalanathan yang juga Ahli
Parlimen Hulu Selangor.
Katanya, dalam apa-apa hal pun,
pendirian UMNO tetap teguh kepada penyelesaian masalah secara bermesyuarat dan
perbincangan tanpa ada pertelingkahan atau bentuk kekasaran yang tentunya hanya
akan mengundang keadaan lebih buruk.
Dalam kejadian Ahad lepas,
Kamalanathan dilaporkan ditumbuk oleh seorang lelaki di pejabat wakil rakyat
itu selepas satu program dianjurkan di kawasan berkenaan.
Kejadian pada pukul 2.30 petang
itu dikatakan berlaku sebelum Kamalanathan yang juga merupakan Ahli
Jawatankuasa Kerja Pusat MIC mengadakan mesyuarat bersama 20 anggota Pergerakan
Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor. - Bernama
KOSMO ONLINE 16.1.14
No comments:
Post a Comment