SEKUMPULAN penunjuk perasaan
berarak ke beberapa buah bangunan kerajaan di Bangkok semalam.
BANGKOK - Perdana Menteri
sementara Thailand, Yingluck Shinawatra semalam menggesa para penunjuk perasaan
menyatakan kemarahan mereka terhadap beliau melalui peti undi dan menegaskan
bahawa pilihan raya merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan krisis politik
di negara itu yang semakin meruncing.
Yingluck berkata demikian
selepas membuat satu perjumpaan bagi membincangkan cadangan daripada
Suruhanjaya Pilihan Raya negara ini yang mahu pilihan raya umum yang
dijadualkan pada Februari depan ditangguhkan.
Bagaimanapun, wakil parti-parti
pembangkang termasuk para pegawai suruhanjaya berkenaan tidak menghadiri
perbincangan tersebut.
"Sekiranya rakyat tidak
suka dengan kerajaan ini, mereka boleh keluar dan mengundi," katanya.
Kumpulan penunjuk perasaan
antiYingluck masih meneruskan kempen untuk melumpuhkan Bangkok yang memasuki
hari ketiga semalam.
Para penunjuk perasaan itu
berkumpul dan menutup laluan utama ke bandar raya ini.
Ketegangan juga semakin
meningkat semalam apabila dua penunjuk perasaan cedera ditembak lelaki
bersenjata yang tidak dikenali, manakala satu letupan kecil menggegarkan kediaman
milik salah seorang pemimpin pembangkang.
Tunjuk perasaan yang bermula
pada Isnin lalu itu bertujuan mendesak Yingluck meletakkan jawatan, manakala
sebuah kerajaan sementara dibentuk untuk melaksanakan pembaharuan bagi
menamatkan rasuah dan politik wang di Thailand.
Para penunjuk perasaan juga
mahu menggagalkan pilihan raya umum yang diumumkan oleh Yingluck pada 2
Februari depan kerana bimbang pemimpin yang mempunyai kaitan dengan bekas
Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra itu kembali berkuasa.
Para penunjuk perasaan yang
diketuai Suthep Thaugsuban yang juga bekas timbalan perdana menteri itu menuduh
Yingluck menjadi boneka kepada Thaksin yang juga abangnya.
Thaksin digulingkan dalam satu
rampasan kuasa tentera pada tahun 2006 selepas kerajaannya didakwa melakukan
penyalahgunaan kuasa. - AFP
KOSMO ONLINE 16.1.14
No comments:
Post a Comment