YATIMIN ABDULLAH | 10
Disember 2014 1:18 AM
KOTA BHARU – Bekas penyerang
kebangsaan era 70-an, Dali Omar mendesak Dollah Salleh membuat rombakan ke atas
skuad Harimau Malaya menjelang pertemuan separuh akhir kedua Piala AFF
menentang Vietnam di Hanoi malam esok.
MOHD. BADHRI RADZI membuat
larian sebelum memulakan sesi latihan Harimau Malaya di Hanoi, semalam. –
UTUSAN
Dali berkata, rombakan itu
perlu dilakukan selepas beberapa pemain yang diturunkan gagal memperagakan aksi
terbaik sehingga Harimau Malaya tumpas 1-2 kepada Vietnam pada pertemuan separuh
akhir pertama di Stadium Shah Alam Ahad lalu.
Menurutnya, kelemahan paling
ketara yang dilihatnya dalam pasukan kebangsaan ialah barisan tengah yang
dianggapnya gagal berfungsi dengan baik sedangkan Harimau Malaya mempunyai
pemain berkualiti di posisi tersebut.
“Kita ada Piya (Mohd. Badhri
Radzi) pemain tengah terbaik, begitu juga dengan Baddrol Bakhtiar. Tetapi
sayang, mereka hanya memanaskan bangku simpanan sahaja sedangkan kedua-dua
pemain ini mempunyai kualiti dan satu kerugian besar buat negara (kerana mereka
tidak diturunkan).
“Saya yakin dan percaya,
kedua-dua pemain ini mampu memberikan impak yang cukup besar jika diberikan
peluang untuk beraksi,” katanya ketika diminta mengulas mengenai persembahan
skuad negara pada separuh akhir pertama itu.
Katanya, barisan tengah Harimau
Malaya dilihat tidak bekerja sebagai sebuah unit menyebabkan tiada sebarang
gerakan menarik yang mampu diterjemahkan oleh jentera serangan.
Malah lagenda bola sepak
Kelantan itu turut menegur susun atur pemain yang dilakukan oleh Dollah
sepanjang saingan tersebut.
Katanya, tindakan itu
menyebabkan pemain yang diberikan kepercayaan untuk beraksi gagal bermain
dengan baik disebabkan oleh susunan yang tidak kena.
“Ubahlah sebelum terlambat demi
kebaikan pasukan Harimau Malaya dan maruah negara,” ujarnya.
Mengulas mengenai peluang
Harimau Malaya, Dali berkata, skuad bimbingan Dollah dijangka berdepan laluan
sukar pada pertemuan itu nanti.
Katanya, Vietnam pasti akan
memanfaatkan peluang beraksi digelanggang sendiri, selain mendahului dengan
gol di tempat lawan.
“Saya harap pemain tidak mudah
patah semangat...fokus pada perlawanan itu nanti dengan mempamerkan aksi
terbaik bagi memulihkan semula maruah pasukan negara.
“Kembalinya Amri Yahyah akan
memberikan nafas baharu di bahagian serangan Harimau Malaya pada pertemuan itu
nanti,” katanya.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/dollah-digesa-jangan-8232-simpan-piya-baddrol-1.34627#sthash.7ofu2cx6.dpuf
No comments:
Post a Comment