Ad

Monday, 15 December 2014

Jangan buat eksperimen



PEMAIN Harimau Malaya giat menjalani latihan menjelang perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 menentang Thailand di Stadium Muang Thong, Bangkok semalam.

BANGKOK – Malaysia perlu menurunkan kesebelasan utama terbaik pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 menentang Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok malam esok.

Kemenangan sangat penting kerana ia akan meletakkan anak-anak buah Dollah Salleh di kedudukan selesa menjelang pertemuan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur tiga hari kemudian.

Selain kemenangan, jaringan gol di gelanggang lawan juga penting pada kejohanan yang berlangsung secara timbal balik ini. Gol di tempat lawan akan meletakkan Harimau Malaya di kedudukan yang selamat menjelang aksi kedua nanti.

Selain itu, kemenangan pasti melonjakkan semangat dan keyakinan para pemain untuk menjadi juara, sekali gus mengulangi pencapaian pada edisi 2010.

Kini, harapan kira-kira 30 juta rakyat Malaysia terarah kepada sentuhan magis bekas pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.

Dollah tidak boleh bereksperimen. Beliau perlu mengekalkan kesebelasan utama terbaik terutamanya pemain-pemain yang beraksi cemerlang ketika Harimau Malaya mengaibkan Vietnam 4-2 sebelum menang dengan agregat 5-4 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Khamis lalu,

Penyerang berpengalaman Felda United, Indra Putra Mahayuddin dan Norshahrul Adlan Talaha dari Johor Darul Takzim (Johor DT) perlu diberi kepercayaan untuk mengemudi jentera serangan Harimau Malaya sambil dibantu Badhri Radzi (Kelantan) dan Safiq Rahim (Johor DT) di bahagian tengah.

Tonggak utama Johor DT, Amri Yahyah bermain di sayap kiri manakala Azamuddin Akil (Pahang) di posisi sayap kanan.

Bagaimanapun, pemilihan pemain di posisi pertahanan sangat penting terutamanya bagi mengekang serangan pantas jentera hadapan skuad The War Elephants yang bakal dikemudi penyerang berpengalaman, Adisak Kraisorn dan Kirati Keawsombut.

Pemain veteran dan kapten, Shukur Adan (Felda United) yang beraksi cemerlang sebelum ini mampu melaksanakan tugas itu dengan baik sambil dibantu Fadhli Shas (Johor DT), S. Kunanlan (Selangor) dan Zubir Azmi (Terengganu) manakala penjaga gawang menjadi pilihan antara Mohd. Farizal Marlias (Selangor) dan Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan).

Penjaring terbanyak edisi 2010, Safee Sali mungkin perlu direhatkan seketika. Selain baharu pulih daripada kecederaan, penyerang Johor DT itu juga sedang menghadapi krisis kepercayaan selepas dikritik hebat para peminat baru-baru ini.

“Ia bukan tugas mudah tetapi kita tidak mahu kalah memandangkan sudah berada di pentas akhir kejohanan ini.

“Tidak mungkin untuk melepaskan peluang keemasan ini dan saya akan cuba bagi sentuhan terbaik untuk merealisasikan misi itu,” kata Dollah baru-baru ini.

Ketika ini, Thailand yang dibimbing bekas penyerang legenda, Kiatisuk Senamuang pasti sedang bekerja keras mengkaji corak permainan Harimau Malaya yang menunjukkan kebangkitan drastik secara tiba-tiba.

Kemenangan 3-2 Thailand ke atas Harimau Malaya pada aksi peringkat Kumpulan B di Singapura, 26 Disember lalu tidak boleh dijadikan rujukan kerana keputusan itu tidak menggambarkan prestasi sebenar anak-anak buah Dollah.

Selepas seri tanpa jaringan dengan Myanmar pada perlawanan pembukaan, Harimau Malaya tewas 2-3 kepada Thailand tetapi bangkit untuk menewaskan pasukan tuan rumah, Singapura 3-1, sekali gus melayakkan diri ke separuh akhir.

Namun, perjalanan Harimau Malaya tidak semudah yang disangka apabila 1-2 tewas kepada Vietnam pada aksi pertama di gelanggang sendiri yang dicemari dengan insiden keganasan penonton di Stadium Shah Alam, 7 Disember lalu.

Seramai 15 orang penonton yang menggelar diri mereka Inter Johor Firms (IJF) menjadi ‘buruan polis’ untuk menyelesaikan kes mencederakan beberapa penyokong Vietnam sebaik perlawanan itu tamat.

Ketika rakyat Malaysia seakan-akan tidak lagi menaruh harapan kepada Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke final, sekali gus mengulangi pencapaian pada tahun 2010, Dollah berjaya melakukan ‘silap mata’.

Keputusan untuk melakukan rombakan dengan menurunkan lima muka baharu dalam kesebelasan utama termasuk Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya, Indra Putra dan Farizal berjaya mengubah rentak serta menghidupkan semula rentak permainan skuad negara.

Segala penderitaan itu sudah berakhir dan Harimau Malaya hanya selangkah untuk bergelar juara dan kini, mereka perlu memberikan fokus dan komitmen 100 peratus pada aksi menentang Thailand di Stadium Rajamangala malam esok.

“Saya bukan ahli silap mata tetapi saya akan melakukan sentuhan ajaib sekali lagi,” kata Dollah.

Kali pertama Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki adalah pada tahun 2010 selepas menumbangkan Indonesia dengan agregat 4-2.

Pada perlawanan akhir pertama, Malaysia menang 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Meskipun tewas 1-2 pada pertemuan kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, ia tidak menghalang skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal untuk dinobatkan sebagai juara.

Kini, Dollah berpeluang untuk melakar sejarah dan meletakkan namanya sebaris dengan Rajagobal selaku jurulatih Harimau Malaya yang berjaya menjulang trofi Piala AFF Suzuki yang dulunya dikenali sebagai Piala Tiger.

Para pemain Harimau Malaya juga tidak perlu berasa gentar untuk berdepan pemain-pemain lawan. Meskipun sedar Thailand akan melancarkan corak permainan menyerang yang pantas, mereka sudah memiliki pengalaman yang secukupnya.

Malah, beberapa pemain yang disenaraikan dalam skuad ini pernah beraksi di pentas final Piala AFF Suzuki 2010 seperti Khairul Fahmi, Fadhli Shas, Safiq, Safee dan Norshahrul.

SUMBER-KOSMO ONLINE 16.12.2014

No comments:

Post a Comment