Ad

Saturday, 13 December 2014

Piala AFF: Saya janji beri terbaik jika terpilih - Farizal

-Oleh Mohd Nasaruddin Parzimnasaruddin@bh.com.my

 
KUALA LUMPUR: Biarpun belum dijanjikan tempat sama ada akan menggalas tugas menjaga gawang Harimau Malaya pada aksi final pertama, Rabu ini, Mohd Farizal Marlias tetap menjanjikan komitmen 100 peratus andai terpilih.
Baginya, siapa pun penjaga gol yang akan beraksi di pentas akhir nanti, misi untuk merangkul kembali kemenangan Piala AFF Suzuki seperti diraih negara pada 2010 perlu menjadi fokus serta misi penting pasukan.
"Ia terpulang kepada jurulatih, jika saya terpilih.. saya akan lakukan yang terbaik untuk pasukan dan negara.
"Saya akan beri komitmen dan persembahan terbaik..apa yang penting, kami perlu menang nanti," kata pemain kelahiran Pahang itu yang kini beraksi bersama skuad Selangor.
Malaysia akan bertemu Thailand dalam perlawanan akhir Piala AFF Suzuki di Bangkok, Rabu ini sebelum aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil atau Stadium Shah Alam, pada 20 Disember ini.
Farizal, 28, ketika menentang Vietnam di Hanoi malam tadi berjaya membuktikan gawang jagaannya bukan mudah dibolosi.
Walaupun dua gol berjaya dicuri menerusi asakan bertali arus Vietnam, namun ketangkasannya berjaya mematahkan beberapa percubaan bahaya lawan pada separuh masa kedua, sebelum aksi kedua-dua pasukan berkesudahan dengan Malaysia layak ke peringkat akhir, menang 4-2, dan agregat 5-4.
Sementara itu, pemain tengah negara, Mohd Badri Radzi pula optimis kesungguhan dan disiplin pemain pada perlawanan akhir mampu menghasilkan hadiah istimewa buat penyokong negara.
Beliau juga berterima kasih atas komitmen rakan juangnya dalam perlawanan malam tadi, malah sedia bermain bermati-matian andai terpilih membarisi kesebelasan utama kelak.
PENJAGA gol Harimau Malaya, Mohd Farizal Marlias melakukan latihan menjelang final Piala AFF Suzuki, Rabu ini. - Foto Goh Thean Howe.BERITA HARIAN ONLINE 12.12.14

No comments:

Post a Comment