12 Disember 2014 1:05 AM
HANOI – Makin tua, makin
menjadi. Itulah yang paling layak diberikan kepada ketua pasukan negara, Shukor
Adan yang menjadi watak paling penting di sebalik kejayaan manis Harimau Malaya
di Stadium Nasional My Dinh malam tadi.
Selain menjaringkan gol keempat
pada minit ke-43 yang merentap semangat juang pemain Vietnam, ketenangan Shukor
mengawal dan membimbing barisan pertahanan berjaya membantutkan segala
pergerakan berbahaya tuan rumah.
Ketika ditemui selepas
perlawanan, dia tidak mahu melabelkan hanya dirinya sahaja layak disanjung
tetapi semua pemain di dalam Harimau Malaya adalah wira negara.
“Tidak, jangan anggap kehadiran
saya menjadi punca di sebalik kemenangan malam ini kerana semua rakan-rakan
saya telah melakukan tugasan mereka di atas padang dengan cemerlang.
“Kami mampu mengekalkan tahap
disiplin dengan baik walaupun tuan rumah mengasak kami habis-habisan terutama
di separuh masa kedua,” katanya.
Namun, dia mengakui
menjaringkan gol semalam adalah antara saat paling manis dalam kariernya, selain
mara ke perlawanan akhir.
“Setelah enam tahun, saya
kembali menyertai pasukan kebangsaan dan ini adalah detik paling manis saya di
peringkat antarabangsa.
“Bukan sahaja kerana jaringan
berkenaan tetapi membawa pasukan negara ke perlawanan akhir pertama kali dalam
karier saya sebagai pemain.
“Mungkin ini adalah hasil doa
daripada penyokong Harimau Malaya dan ahli keluarga kami yang tidak putus-putus
memberikan sokongan,” katanya. – UTUSAN
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/shukor-otai-masih-berbisa-1.35430#sthash.hUn5XGyM.dpuf
No comments:
Post a Comment