Ad

Saturday, 18 January 2014

Beregu muda sahut cabaran

 Oleh FERZALFIE FAUZI dan SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
sukan@utusan.com.my
 
LIM Khim Wah (kiri) dan Goh V Shem membalas pukulan pasangan England, Chris Langridge-Peter Mills sebelum menang 21-16, 21-14 pada suku akhir Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ
KUALA LUMPUR - Pada ketika pemain-pemain muda negara digesa agar menunjukkan peningkatan, Goh V Shem-Lim Khim Wah menyahut cabaran itu dengan melangkah ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam.

Malah, beregu lelaki tunggal negara yang berjaya melepasi pusingan pertama itu tidak menghadapi banyak masalah untuk mnenewaskan pasangan England, Chris Langridge-Engpeter Mills 21-16, 21-14.

Kemenangan tersebut bakal menemukan mereka dengan beregu No. 11 dunia dari Indonesia, Angga Pratama-Ryan Agung Saputra yang mengejutkan pasangan handalan Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong 22-20, 21-16.

Ini merupakan kejayaan pertama V Shem-Khim Wah layak ke separuh akhir pada kejohanan berstatus Siri Super Premier.

Pasangan No. 17 dunia itu turut melayakkan diri ke separuh akhir Terbuka Malaysia tahun lalu, namun kejohanan ketika itu masih berstatus Siri Super.

"Sekarang, kami sudah melangkah ke separuh akhir, jadi kami akan berusaha dengan lebih keras untuk cuba mencari tempat dalam perlawanan akhir.

"Namun semalam (kelmarin) kami lebih seronok beraksi kerana lawan memberi tentangan berbanding hari ini kerana mereka tidak begitu kental dan garang," kata V Shem, yang melangkah ke suku akhir Terbuka Korea, minggu lalu.

Sementara itu, Khim Wah menjelaskan, ketika prestasi mereka semakin memuncak dia tidak mahu memikirkan tentang prestasi kurang memberangsangkan pada tahun lalu dan membiarkan ia menjadi sejarah.

"Perkara yang berlaku tahun lepas kami sudah tidak memikirkannya lagi, kami perlu tumpu apa yang berlaku sekarang.

"Selepas mendapat keputusan cemerlang hari demi hari, kami mahu meneruskannya begitu juga di kejohanan lain selepas ini seperti di Jerman ataupun All-England.

"Kami harus melakukan persediaan dengan lebih bagus. Sekarang kami akan melihat perlawanan antara Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong dan Angga -Ryan (Indonesia) untuk membuat persediaan bagi perlawanan esok," katanya.

V Shem-Khim Wah sebelum ini turut melakar kejutan dengan menumbangkan pasangan No. 3 dunia dari Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen pada pusingan pembukaan.

Berdasarkan rekod pertemuan, mereka pernah menentang Angga-Ryan dua kali. Perlawanan pertama dimenangi V-Shem-Khim Wah 21-17, 21-18 pada kelayakan Terbuka Singapura 2011.

Dua bulan selepas itu giliran Angga-Ryan pula menang ke atas pasangan negara 21-8, 10-21, 20-22 di Grand Prix Vietnam.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140118/su_04/Beregu-muda-sahut-cabaran#ixzz2qngL90n6 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment