Ad

Saturday, 18 January 2014

DRB-Hicom akhirnya dapat sentuhan pemain import hadapi musim 2014


 Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
Mohd. Khamil Jamil (depan, tengah) bersama pemain-pemain DRB-Hicom selepas majlis pelancaran Kelab Bola Sepak DRB-Hicom FC di Shah Alam, semalam. - BERNAMA
SHAH ALAM - Melihatkan kepada senarai pemain yang dimiliki oleh DRB-Hicom FC pada musim ini, tidak keterlaluan untuk memperkatakan skuad yang berada di bawah kendalian G. Torairaju itu pasti sukar untuk bersaing bagi merebut kejuaraan Liga Perdana.

Terdiri daripada rata-rata pemain muda, pasukan yang dahulunya sebagai Pos Malaysia FC itu tetap berazam menampilkan kejutan pada mana-mana pasukan yang memandang lekeh terhadap cabaran mereka dengan mensasarkan untuk berada di kalangan empat pasukan teratas.

Malahan, DRB-Hicom FC buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka dalam saingan Liga Malaysia turut diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain import bagi memastikan kekuatan mereka tidak ketinggalan jauh di belakang pasukan-pasukan lain.

Walaupun mengakui cabaran Liga Perdana pada musim ini dijangka jauh lebih sengit berbanding sebelum ini, Torairaju sama sekali tidak cepat mengangkat bendera putih sebaliknya menyandarkan kepercayaan kepada komitmen dan semangat pemain-pemain mudanya mampu memberikan saingan sengit dan menampilkan aksi berkualiti tinggi.

''Bercakap mengenai bajet pasukan lain, saya tahu banyak pasukan cukup serius pada musim ini kerana saya ada berjumpa dengan rakan di Sabah yang berkata mereka diperuntukkan 11 juta, begitu juga Negeri Sembilan di bawah kendalian V. Sundramoorthy, mereka turut membelanjakan lebih 10 juta pada musim ini.

''Memang tidak dinafikan kalau hendak dibandingkan sebegitu, kita memang tidak mampu untuk bersaing tetapi kewangan bukanlah segalanya dalam bola sepak seperti mana musim lalu kami berjaya menduduki tangga keenam Liga Perdana walaupun tanpa pemain import.

''Musim ini kami akan diperkuatkan dua pemain dari Nigeria dan seorang dari Jepun dan berdasarkan pada sesi latihan, saya rasa bukan satu masalah buat DRB-Hicom FC bersaing untuk merebut empat tangga teratas dan melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia, " katanya pada sesi pelancaran jersi kelab itu di Glenmarie, semalam.

Dua pemain import Nigeria itu adalah Ogunboye lyanul Ezekiel yang beraksi selaku penyerang dan pertahanan, Atapa Kazeem Adeolu sementara Hattori Shotaro dari Jepun bertindak sebagai pemain tengah.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh penaung DRB-Hicom FC, Tan Sri Datuk Mohd. Khamil Jamil yang turut dihadiri presidennya, Bahaman Kamaruzzaman.

Kehilangan sebahagian besar pemain-pemain pada musim lalu, ketua pasukan DRB-Hicom FC, Abdullah Yusoff, tetap tidak berasa gusar dengan kekuatan yang ada pada pasukannya sambil melihat situasi itu memberikan satu hikmah tersendiri.

''Menyebut mengenai pasukan kami, saya tahu mungkin ramai tidak mempedulikan serta ambil kisah namun saya lebih suka kami berada dalam situasi sedemikian kerana sekurang-kurangnya kami berasa lebih tenang, biarlah pasukan lain yang dilabelkan sebagai status pilihan merasai tekanan.

''Walaupun terdiri rata-rata pemain di kalangan umur 24-25 tahun, semangat dan kerjasama satu pasukan bakal membawa kami pergi jauh pada musim ini, " katanya.
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140118/su_06/DRB-Hicom-akhirnya-dapat-sentuhan-pemain-import-hadapi-musim-2014#ixzz2qneKOwTr

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment