Ad

Saturday, 18 January 2014

Terbuka Malaysia: Chong Wei di landasan buru gelaran ke-10

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Misi jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei untuk memburu kejuaraan kejohanan badminton Terbuka Malaysia buat kali ke-10 semakin hampir untuk menjadi kenyataan apabila dia melangkah ke separuh akhir di Stadium Putra, Bukit Jalil, hari ini.

Turun dengan reputasi sebagai juara 2013, 2012, 2011, 2010, 2009, 2008, 2006, 2006 dan 2005, jaguh perseorangan Malaysia itu mudah menyingkirkan bintang muda China yang juga pemain No. 9 dunia, Du Pengyu 21-9, 21-15 hanya dalam masa 34 minit.

Menanti Chong Wei pada separuh akhir esok adalah pemenang di antara pilihan ketiga, Jan O Jorgensen dari Denmark atau pemain muda Jepun, Kento Momota.

Terdahulu, beregu muda negara, Goh V Shem-Lim Khim Wah yang melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Chris Langridge-Peter Mills dari England 21-16, 21-14 akan menempah pertemuan dengan pasangan Indonesia, Angga Pratama-Ryan Agung Saputra dari Indonesia.

Angga-Ryan mara selepas mengejutkan pasangan handalan Korea Selatan yang juga pilihan kelima, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong 22-20, 21-16. - UTUSAN ONLINE

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140117/su_14/Terbuka-Malaysia-Chong-Wei-di-landasan-buru-gelaran-ke-10#ixzz2qncxOSas © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment