Ad

Saturday, 25 January 2014

Bujang Senang berputih mata

Oleh MULLER ASEN
muller.asen@kosmo.com.my
 
PENYERANG Sarawak, Gabor Gyepes (kanan) berjaya melepaskan tandukan ke arah gawang Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Negeri di Kuching malam tadi.

SKUAD Bujang Senang gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila kalah 0-1 kepada Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri, Kuching malam tadi.

Penyerang import Kelantan, Francis Forkey Doe muncul wira pasukan The Red Warriors apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89 selepas menolak mudah hantaran Mohamad Gaddar.

Dengan keputusan itu, skuad kendalian Steve Darby kini mengutip enam mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Skuad Bujang Senang yang dibimbing Robert Alberts pula terus dihimpit episod suram apabila gagal mengutip sebarang mata selepas tewas 0-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) minggu lalu.

The Red Warriors pula mengutip enam mata selepas berjaya mengatasi Sime Darby 2-0 di Kota Bahru, sebelum ini.

Bermain di hadapan kira-kira 20,000 penyokong, pasukan tuan rumah terlebih dahulu memberi amaran kepada The Red Warriors seawal minit keempat menerusi serangan pantas penyerang import, Milorad Janjus dan Alireza Abasfard.

Bagaimanapun, jaringan oleh kapten pasukan Sarawak, Joseph Kalang Tie pada minit ke-43 tidak diiktiraf oleh pengadil apabila dia berada di posisi ofsaid.

Sebaik bermula babak kedua, Sarawak bermula garang apabila tandukan Milorad Janjus melepasi palang gol Kelantan yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat.

Sarawak terus mengasak untuk mencari gol penyamaan pada minit-minit terakhir, namun jentera penyerang buntu menghasilkan gol sehinggalah pengadil Mohd. Nafeez Abd Wahab meniupkan wisel penamat.

Sementara itu, Alberts meluahkan rasa kecewa dengan persembahan yang dipamerkan oleh para pemainnya selepas gagal melakukan gerakan penyudah yang tepat.

Katanya, para pemain nampak keletihan selepas mengharungi aksi Piala FA menentang Pulau Pinang, Selalu lalu selain jadual perlawanan liga yang padat.

"Saya tidak salahkan pemain saya, tetapi kegagalan mereka menyempurnakan peluang di depan gol menyebabkan kita gagal menghasilkan sebarang gol selepas dua perlawanan.

"Jadi, saya berharap pemain saya akan bangkit mencipta kemenangan pada perlawanan menentang Sime Darby pada Selasa depan," katanya.

KOSMO ONLINE 26.1.14

No comments:

Post a Comment