Ad

Saturday, 25 January 2014

Juara Piala Malaysia 2013 tersungkur

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YAD
 
PENYERANG Sime Darby, Dilshod Sharofetdidov jersi merah diasak pemain pertahanan Pahang pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi yang menyaksikan Sime Darby menang 1-0.

JURULATIH Sime Darby, Ismail Zakaria percaya skuad kendaliannya sudah mampu bersaing dengan pasukan elit dalam saingan Liga Super pada musim ini.

Keyakinan Ismail itu hadir sejurus menyaksikan kejayaan Sime Darby menewaskan juara Piala Sumbangsih 2014, Pahang 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Pada aksi tersebut, pemain tengah The Giant Killer, Fakhrul Razi Kamaruddin muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-50.

Apa yang pasti, Ismail jelas gembira menyaksikan pasukan bimbingannya melakarkan kemenangan kedua berturut-turut termasuk kejayaan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 pada aksi pusingan pertama Piala FA di venue yang sama pada Selasa lalu.

"Saya cukup berpuas hati dengan kesungguhan pemain saya. Mereka nampak yakin dan memiliki semangat untuk meraih kemenangan malam ini (malam tadi).

"Begitupun, masih banyak ruang perlu diperbaiki dan saya percaya kami mampu menjaringkan lebih dari satu gol tetapi palang dan tiang gol lawan menjadi penghalang.

"Begitupun, perjalanan liga masih jauh dan kami mempunyai ruang untuk memperbaiki kelemahan pasukan ini sebelum aksi menentang Sarawak pada Selasa ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam tadi.

Ketika ditanya mengenai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu menyiasat kenyataan yang mengkritik mutu pengadilan ketika tewas 1-2 kepada Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 18 Januari lalu, Ismail kekal tenang dengan menyifatkan beliau sedia disiasat.

Sebelum ini, Ismail lantang bersuara mempersoalkan keputusan pengadil yang memberikan sepakan penalti kepada The Red Warriors pada aksi pembuka tirai Liga Super.

"Terpulang kepada FAM. Mereka lebih arif dalam hal ini dan sebenarnya, saya tidak mengkritik (FAM). Itu sahaja saya boleh katakan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, jurulatih Pahang, Ronald Smith mengakui kecewa apabila misi untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian.

"Kami sudah cuba yang terbaik tetapi malangnya, nasib tidak menyebelahi kami pada aksi tersebut.

"Mungkin kami terlalu terburu-buru untuk mencari jaringan awal menyebabkan Pahang dihukum menerusi jaringan pantas Sime Darby," katanya.

KOSMO ONLINE 26.1.14

No comments:

Post a Comment