Oleh HAIKAL RAMAN
haikal.raman@kosmo.com.my
PASUKAN penyelamat membawa Syed
Haidhar (kiri) dan Shaiful Zariq menaiki bot di Empangan Batu untuk dihantar ke
Hospital Selayang semalam.
HULU SELANGOR – Tiga juruterbang
pelatih terselamat apabila pesawat Cessna 172 dinaiki mereka berjaya dielak
daripada terhempas ke kawasan Empangan Batu Ulu Yam dekat sini sebaliknya
terjatuh ke atas rumpunan pokok buluh.
Kesemua mangsa iaitu Saiful
Farid Amri Amrizal, 22, Shaiful Zafiq Razali, 24, dan Syed Haidhar Syed
Zulkiflee, 25, ditemui selamat berada di bawah sebatang pokok besar kira-kira
100 meter dari lokasi pesawat itu terhempas.
Saiful Farid cedera pada mata
kiri, Shaiful Zafiq cedera di kepala manakala Syed Haidhar cedera di muka
selain terseliuh pada kaki kiri.
Ketiga-tiga mangsa itu pelatih
dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor.
Sebelum kejadian pada pukul
5.15 petang kelmarin, Syed Haidhar berkata, pesawat ringan dikendali Saiful
Farid terkejut apabila melihat ada dua ekor burung helang cuba melintas
menyebabkan pesawat itu cuba mengelak.
Selepas berjaya mengelak burung
itu, pesawat itu secara tiba-tiba dilanda angin kencang menyebabkan pesawat
tidak stabil.
“Kami cuba elak daripada
terhempas ke kawasan empangan kerana takut nasib kami jadi lebih buruk dan
usaha kami berhasil dengan pesawat itu kemudian terhempas di atas rimbunan
pokok buluh sebelum menggelongsor ke bawah,” katanya ketika ditemui di Hospital
Selayang, semalam.
Katanya, kejadian cemas
mengelak burung helang dan dilanda angin selama lima minit sangat mencemaskan.
Kata Syed Haidhar, pesawat
tersebut berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai
Besi pukul 4.30 petang bagi menjalani latihan biasa dan dijadual melalui
beberapa kawasan di Lembah Klang.
SUMBER : KOSMO ONLINE 21.1.14
No comments:
Post a Comment