Ad

Saturday 11 January 2014

Hazard, Torres bantu Chelsea ke persada liga

Fernando Torres (kanan) membuat sepakan untuk menjaringkan gol kedua Chelsea ketika menentang Hull City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium KC di Hull, England semalam. - REUTERS
LONDON - Jaringan Eden Hazard dan Fernando Torres pada separuh masa kedua memastikan Chelsea melonjak ke anak tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menang 2-0 ke atas Hull City semalam.

Hazard berjaya memecah kebuntuan melalui rembatan deras, yang juga gol kesembilannya pada musim ini, sebelum Torres mencatat jaringannya yang ke-200 dalam EPL pada penghujung permainan.

Chelsea kini mengumpul 46 mata daripada 21 perlawanan untuk memintas Manchester City yang akan menentang Newcastle United hari ini dan mengetepikan pendahulu liga sebelum ini, Arsenal yang hanya akan beraksi esok.

Perlawanan semalam adalah ke-150 Cech tidak dibolosi selepas beraksi sebanyak 312 kali dalam EPL.

Bagaimanapun, Chelsea yang meletakkan Torres sebagai penyerang solo, diberi tentangan sengit oleh pasukan tuan rumah dengan dua percubaan menepati sasaran pada separuh masa pertama.

Pada minit ketujuh pemain sayap kanan Hull, Ahmed Elmohamady melakukan rembatan kaki kanan dari luar petak penalti namun percubaan tersebut berjaya diselamatkan penjaga gol Chelsea, Petr Cech.

Pemain tengah Hull, Jake Livermore menguji Cech pada minit ke-22 pula selepas menerima hantaran daripada Yannick Sagbo namun pelawat masih ampuh bertahan.

Selepas diuji hebat dalam tempoh 20 minit pertama perlawanan, The Blues akhirnya menunjukkan watak sebenar apabila Oscar melakukan percubaan dari dalam petak penalti pada minit ke-33 namun dia gagal untuk menewaskan penjaga gol Hull, Allan McGregor.

Chelsea akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-56 apabila rembatan Hazard dari luar kotak penalti menuju ke bucu kanan pintu gol lawan selepas menerima hantaran daripada Ashley Cole.

Tiga minit sebelum perlawanan tamat, Torres mengesahkan kemenangan The Blues selepas menyempurnakan hantaran Willian dan melakukan rembatan dari dalam petak penalti. - REUTERS

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140112/sl_01/Hazard-Torres-bantu-Chelsea-ke-persada-liga#ixzz2q8o9G6JK © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment