Ad

Saturday, 11 January 2014

Chong Wei jejak kaki ke final

Oleh MOHD. IKHSAN,FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my
 
CHONG Wei menghampiri gelaran keempat pada Siri Super Terbuka Korea 2014.

KEMARAAN Datuk Lee Chong Wei ke final pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Korea 2014 membuktikan pemain No. 1 dunia itu berada di landasan terbaik untuk menjulang gelaran keempat kejohanan bertaraf lima bintang yang sedang berlangsung di Seoul itu.

Pemain berusia 31 tahun itu sekali lagi tampil cemerlang semalam apabila hanya memerlukan dua set untuk menyingkirkan pemain Jepun, Kenichi Tago 21-17, 21-17 dalam tempoh 51 minit.

Lebih menarik, kejayaan itu menyaksikan kebangkitan Chong Wei yang berjaya menebus kekalahan ke atas pemain pilihan kelima itu selepas tewas pada pertemuan terakhir mereka pada pusingan separuh akhir Terbuka Perancis 2013 (Oktober).

Begitupun, jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek mengakui, beliau tidak menafikan aksi tersebut mudah bagi Chong Wei.

“Permainan Tago sudah bertambah matang dan agak sukar juga untuk mengalahkan dia. Chong Wei masih ada kelebihan dari segi pertahanan dan juga serangan yang lebih padu,” jelas Rashid.

Bagaimanapun, apa yang dirisaukan ialah aksi final hari ini kerana Chong Wei akan berdepan dengan pemain yang tidak pernah ditewaskan sejak tiga pertemuan yang terakhir iaitu Chen Long dari China.

Chong Wei tewas kepada pemain No. 2 dunia itu pada aksi final Terbuka Denmark 2013 Oktober lalu, Seluruh England 2013 (Mac) dan Terbuka Hong Kong 2012 dua tahun lalu.

Berdasarkan prestasi cemerlang kedua-dua pemain itu di peringkat antarabangsa, Rashid juga tidak menafikan bahawa pertembungan yang sengit bakal dipamerkan oleh mereka.

“Saya percaya esok (hari ini) akan menjadi lebih sukar dan peluang kedua-dua pemain untuk menang adalah 50-50,” jelas Rashid ringkas.

Chen Long turut mara ke final selepas menewaskan pemain Thailand, Boonsak Ponsana 21-15, 21-9 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Chong Wei dan Chen Long mempunyai rekod yang sama iaitu tujuh kali menang dalam 14 pertemuan sejak aksi pertama pada Terbuka India 2009.

SUMBER : KOSMO ONLINE 12.1.14

No comments:

Post a Comment