Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
SKUAD Frenz United Malaysia
bersedia untuk menggalas tanggungjawab mengharumkan nama negara pada kejohanan
tahun ini.
MEMASUKI edisi kedua kali ini,
penganjuran Piala Antarabangsa Frenz Bawah 16 Tahun (B-16) 2014 pastinya jauh
lebih berprestij berbanding edisi terdahulu.
Selain dimeriahkan dengan
penyertaan beberapa kelab besar seantero dunia, kejohanan anjuran Kelab Bola
Sepak Frenz United dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu
pastinya lebih mendebarkan kali ini apabila ia turut dilangsungkan menyeberangi
Laut Jawa iaitu Yogjakarta, Indonesia.
Apa yang pasti, jumlah 12
pasukan yang bakal berentap kali ini berbanding lapan pasukan pada edisi
pertama jelas menjanjikan cabaran cukup sengit bagi merebut hadiah wang tunai
AS$50,000 (RM163,820) yang menanti pasukan bergelar juara, selain AS$25,000
(RM81,910) untuk naib juara serta AS$15,000 (RM49,146) dan AS$10,000 (RM32,764)
untuk pasukan di tempat ketiga dan keempat.
Juara bertahan, skuad B-16
Slovakia juga pastinya mengidam untuk mempertahankan kejuaraan kali ini apabila
diundi bersama wakil tuan rumah, Frenz United Malaysia bersama Internacional
(Brazil), Besiktas (Turki) serta dua pasukan Asia iaitu Incheon United (Korea
Selatan) dan Dalian Aerbin dari China dalam aksi Kumpulan A.
Namun, mereka pastinya tidak
diberikan laluan mudah terutamanya Frenz United Malaysia yang memiliki misi
'membalas dendam' selepas sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga dalam
edisi pertama sebelum ini.
Aksi Kumpulan B edisi kali ini
juga tidak kurang hebatnya apabila satu lagi wakil tuan rumah bersama, Frenz
United Indonesia bakal melayan cabaran skuad B-16 Iran, Rapture FC (Nigeria),
Chonburi FC (Thailand), E. Franfurt (Jerman) dan Sporting Lisbon dari Portugal.
Pengarah Frenz United
Indonesia, Ophan Lamara berkata, pihaknya telah bersedia menjadi tuan rumah
bersama kali ini sebagai medan mencungkil bakat-bakat muda dalam sukan bola
sepak.
"Saya harap kehangatan
yang dijelmakan pada edisi pertama Piala Antarabangsa Frenz B-16 (2012) akan
merebak ke Indonesia kali ini.
"Selain menjadi medan
mencungkil bakat baharu dalam bola sepak, saya juga berharap kesemua pasukan
yang bertanding mampu mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi," katanya
pada sidang akhbar kejohanan itu baru-baru ini.
Kejohanan yang menawarkan
ganjaran keseluruhan lebih AS$100,000 (RM318,068) itu turut mendapat sokongan
rakan penaja seperti Premiere Hotel, Paradigm Mall, WCT Kids, Restoran Zam Zam,
Frenz Hotel, Sparky Animation dan Qiraman Holidays Sdn. Bhd.
Aksi Kumpulan A bakal berlangsung
di beberapa venue di Malaysia iaitu Stadium Frenz Janda Baik, Pahang; Stadium
Universiti Malaya, Kuala Lumpur; Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor
serta Padang Pusat Latihan Maybank, Bangi, Selangor.
Aksi Kumpulan B pula
berlangsung di beberapa venue di Indonesia iaitu Stadium Menahan, Surakarta,
Solo; Stadium Maguworhorjo, Sleman, Yogjakarta dan Stadium Sultan Agung,
Bantul, Yogjakarta.
Pada kejohanan edisi pertama
pada 2012, skuad B-16 Slovakia muncul juara selepas mengecewakan kelab Iran,
Persepolis FC menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 sementara Frenz United
Malaysia mengecewakan skuad B-15 Malaysia 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga/keempat.
Dalam pada itu, Presiden Kelab
Bola Sepak Frenz United, Datuk Noor Ihsan A Hamid percaya skuad Frenz Malaysia
mampu memberikan cabaran kali ini sekali gus memperbaiki pencapaian pada edisi
pertama sebelum ini.
"Sasaran kami tetap tidak
berubah iaitu mahu muncul juara biarpun berada dalam kumpulan yang kuat.
"Saya juga berharap
peluang berdepan pasukan yang hebat seperti Internacional dan Besiktas mampu
memberikan pendedahan dan pengajaran berguna buat barisan pemain Frenz United
Malaysia," katanya.
SUMBER : KOSMO ONLINE 12.1.14
No comments:
Post a Comment