Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
FINALIS Pencetus Ummah (dari
kiri), Rahmat, Hafiz, Shahul dan Yeop yang bakal bersaing sesama sendiri bagi
merebut gelaran juara.
BERSAING selama tujuh minggu
melalui program realiti TV Islamik, Pencetus Ummah (PU), empat peserta yang
berjaya ke peringkat akhir kini sudah bersedia mendepani dua tugasan peringkat
akhir program yang bakal disiarkan pada hari ini, pukul 9 malam di Astro Oasis
(saluran 106) serta tayangan serentak di Maya HD (saluran 135).
Dua cabaran yang bakal
diharungi empat finalis Pencetus Ummah iaitu dikenali PU Rahmat, PU Yeop, PU
Shahul dan PU Hafiz adalah merujuk kepada dua tajuk yang diberikan juri iaitu
Cinta Rasul dan juga empat tajuk tugasan yang diperoleh peserta melalui cabutan
undian.
Bersyukur kerana terpilih untuk
bertanding ke peringkat akhir daripada 12 peserta, menurut PU Hafiz atau nama
sebenarnya Muhammad Hafiz Mohd. Haneefa, dia mendapat tajuk Pendakwah Untung
Dunia dan Akhirat serta tajuk Cinta Rasul yang diberikan kepada keempat-empat
peserta akhir.
“Untuk tajuk Cinta Rasul, saya
akan bercerita mengenai pengalaman duduk di Madinah selama empat tahun. Saya
akan tonjolkan sesuatu yang luar biasa seperti jasad Nabi Muhammad yang
terdapat di sana,” ungkap peserta berusia 32 tahun berasal dari Klang, Selangor
itu.
Bertugas sebagai pensyarah
Qiraati dan merupakan Naib Presiden Akademik di Kolej Hafiz, Klang, Hafiz juga
akan bercerita mengenai Bukit Uhud yang menjadi saksi kepada peperangan paling
dahsyat dalam sejarah agama Islam.
Shahul gementar
Sementara itu, bagi Shahul atau
nama sebenarnya Shahrul Hameed M.P.H. Seeni Md., biarpun dia mempunyai lebih
banyak pengalaman dakwah daripada tiga lagi peserta, namun dia mengakui tidak
mudah untuk mengalahkan ketiga-tiga peserta lain kerana semua mempunyai
kelebihan masing-masing.
“Dalam pertandingan, lain
cabarannya. Mungkin dari segi isi saya tidak ada masalah sebab ada kitab
sebagai rujukan tetapi dari segi penyampaian kita tidak tahu apa kehendak
masyarakat dan juga juri,” ujarnya jujur.
Sedikit lega kerana pada
peringkat akhir Shahul mulai nampak apa yang dikehendaki oleh juri.
Bagaimanapun, peserta berusia 38 tahun itu sedikit gementar dengan tajuk yang
diperoleh menerusi undian iaitu Ibu Bapa Hebat, Anak Keparat dan juga masa singkat
yang diberi.
Namun begitu, melalui tajuk
kedua iaitu Cinta Rasul, Shahul yang juga merupakan jurusan Sarjana Hadith
(Al-Quran dan Sunnah) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu akan
mengangkat kisah keunggulan dan kehebatan Nabi Muhammad dari sudut yang belum
pernah diketahui masyarakat.
“Sebenarnya isi untuk Cinta
Rasul itu saya sudah ada lama tetapi untuk tugasan lagi satu iaitu Ibu Bapa
Hebat, Anak Keparat itu sedikit sukar. Sebabnya, saya sudah dapat tajuk yang
lebih kurang sama seperti ini sebelum ini.
“Saya juga risau dari segi masa
yang diberi. Biasa mengajar atau beri ceramah selama tiga jam. Untuk tugasan
ini saya cuma diberi masa selama tiga minit,” luahnya yang mempunyai pengalaman
mengajar agama selama 15 tahun.
Mengulas lebih lanjut mengenai
tugasan akhir yang bakal dilunaskan, peserta yang terkenal dengan dakwah humor
iaitu Mohd. Zinudin Mohamed Zaini atau PU Yeop memberitahu dia akan memfokuskan
mengenai Rasulullah menggembala kambing ketika di usia kanak-kanak untuk
tugasan kedua iaitu Cinta Rasul.
“Saya lebih selesa mengangkat
kisah Nabi ketika kecil. Sebabnya, sebelum ini saya sentiasa beri ceramah
mengenai kisah tersebut. Saya juga akan selitkan sedikit humor ke dalam cerita
tersebut,” jelasnya yang memberitahu akan tampil cerita yang lebih menghiburkan
di akhir Pencetus Ummah nanti.
Yeop yang mempunyai pengalaman
selama hampir lima tahun sebagai tenaga pengajar kursus praperkahwinan di
Jabatan Agama Islam Perak menegaskan, tugasan yang diperoleh menerusi undian
pula adalah bertajuk Kenapa Doa Aku Tidak Makbul.
Pengisian eksklusif Rahmat
Peserta akhir yang berjaya
melangkah kaki ke peringkat akhir Pencetus Ummah yang juga merupakan peserta
paling popular dalam kalangan penonton iaitu PU Rahmat pula mendedahkan dia
akan cuba tampilkan pengisian dakwah secara eksklusif melalui tajuk yang
diperoleh iaitu Mencari Cinta Kekasih Sehingga Lupa Cinta Maha Pengasih.
“Saya sedar cabaran dari segi
ilmu dan kematangan saya sangat berbeza daripada peserta-peserta lain.
Disebabkan itu, saya akan cuba tampilkan pengisian lebih eksklusif seperti yang
ditampilkan oleh penceramah dari Eropah,” ulas peserta berusia 20 tahun itu.
Sedar ilmu agama sedikit kurang
berbanding tiga peserta lain, pelajar jurusan Sains Persekitaran di Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menyusun strategi untuk menarik perhatian
pengundi melalui laman sosial Facebook.
Bagaimanapun, peserta berasal
dari Segambut, Kuala Lumpur itu juga tidak membelakangkan para juri yang
memberi markah 70 peratus daripada 100 peratus itu.
Pencetus Ummah menggunakan
sistem pemarkahan iaitu sebanyak 70 peratus undian juri manakala 30 peratus
pula melalui undian penonton.
Program realiti Islamik
terbaharu di Astro Oasis yang membawa para peserta menggunakan pelbagai cara
kreatif dalam menyampaikan dakwah itu mula ditayangkan pada 21 November lalu.
Seramai 12 orang peserta telah
dipilih dan empat orang yang berjaya melangkah kaki ke peringkat akhir. Peserta
yang tidak berjaya ialah PU Thowi, PU Fakhrul, PU Razi, PU Fidz, PU Hissam, PU
Izzat, PU Sufian dan PU Salman.
Juara Pencetus Ummah bakal
memenangi hadiah utama iaitu wang tunai RM50,000 dan sebuah kereta. Naib juara
pula akan menerima wang tunai RM30,000 manakala tempat ketiga dan keempat bakal
membawa pulang wang sagu hati RM10,000 setiap seorang.
RUJUKAN:http://www.kosmo.com.my/kosmo.
9.1.14
No comments:
Post a Comment