KUALA LUMPUR - Johor Darul
Ta'zim II (JDT II) kecundang 1-3 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman
sendiri semalam selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila penjaga gol,
K. Sasikumar dibuang padang.
Dalam aksi di Stadium Majlis
Perbandaran Pasir Gudang, Johor, Harimau Selatan terlebih dahulu di hadapan
menerusi penyerang import mereka, Braulio Rodriguez pada minit ke-24 sebelum
kehilangan Sasikumar 11 minit kemudian akibat melakukan terjahan keras ke atas
Bobby Gonzales.
Jurulatih JDT II, Azmi Mohamad
kemudiannya mengeluarkan pemain tengah, Mohd. Yusof Zainal Abidin dan
memasukkan penjaga gol kedua, Zulfadhli Mohamed.
Lima minit babak kedua bermula,
PDRM menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd. Afif Amirudin sebelum Bobby
Gonzalez menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-59.
Harimau Selatan cuba bangkit
untuk memberikan saingan tetapi kejayaan Mohd. Fadhil Mohd. Hashim menjaringkan
gol ketiga pada minit ke-61 bagi memastikan PDRM membawa pulang tiga mata
berharga.
Dalam satu lagi aksi di Stadium
Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan, pasukan tuan rumah berjaya menundukkan
DRB Hicom dengan keputusan 2-1.
Gol-gol Negeri Sembilan
dijaringkan Joseph Kaplan pada minit ke-32 dan 52 manakala jaringan saguhati
pasukan pelawat disumbangkan oleh penyerang import mereka, Ogunboye Iyanu
Ezekiel empat minit kemudian.
Aksi di Stadium Bandaraya Pulau
Pinang menyaksikan tuan rumah mengutip kemenangan pertama apabila menewaskan
Sabah 3-1.
Pasukan pelawat terlebih dahulu
di hadapan pada minit ke-11 menerusi Rozaimi Abdul Rahman namun Mohamad Zharif
Hasna menjadi watak utama memastikan kemenangan Pulau Pinang dengan
menjaringkan dua gol pada minit ke-45 dan 63 manakala pemain import, Hilton
Mauro Moriera turut meletakkan diri selaku penjaring tuan rumah pada minit
ke-61.
Di Stadium Darulaman, Alor
Setar menyaksikan Kedah berjaya menewaskan Perlis 4-1 meskipun pasukan pelawat
terlebih dahulu membukajaringan menerusi Mohd. Farizal Rozali pada minit ke-23.
Kapten pasukan, Badrol Bakhtiar
kemudian menyamakan kedudukan 10 minit kemudian sebelum Billy Mehmet menambah
jaringan pada minit ke-37.
Mohd. Syazwan Zainon terus
melebarkan jurang jaringan pada minit ke-45 sebelum Billy memastikan kemenangan
tuan rumah menerusi jaringan pada minit ke-82.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140125/su_05/Harimau-Selatan-tumbang-di-tempat-sendiri#ixzz2rQ9sypo5
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment