Putrajaya: Menteri Dalam Negeri
merangkap penaung pasukan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pasukan itu bangkit menjuarai Liga Perdana 2014
musim ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau
menagih magis jurulatih PDRM, Dollah Salleh untuk mengemudi pasukan itu
mempamerkan prestasi terbaik dan mencatat kejayaan cemerlang.
“Dalam setiap perlawanan kita
perlu serius, kita mahu PDRM menjulang semula nama baik yang pernah terpahat
pada 2007. Saya mahu lihat pasukan PDRM dapat masuk Liga Super,” katanya
selepas melancarkan skuad Liga Perdana PDRM musim 2014 semalam.
Beliau memberi amaran kepada
semua pemain dan pegawai pasukan supaya tidak terlibat dengan masalah rasuah
dan menegaskan tidak akan berkrompromi dengan sesiapa yang didapati terlibat.
ZAHID (kanan) berbual bersama
pemain PDRM.
“Kalau ini berlaku (rasuah),
jangan salahkan saya sekiranya pegawai atau pemain terlibat dikenakan tindakan
sehingga kehilangan jawatan. Namun saya percaya kebajikan pemain dan pegawai
PDRM (dijaga) baik dan perkara sedemikian tidak akan berlaku,” kata Ahmad
Zahid.
Sementara itu Dollah menyatakan
keyakinan PDRM mampu menjadi pasukan mantap dan menuntut pemain segera mencapai
keserasian untuk muncul juara Liga Perdana musim ini.
Dalam pada itu, beliau enggan
memberi komen berhubung desas-desus beliau antara calon jurulatih skuad Harimau
Malaya menggantikan Datuk K Rajagobal.
“Saya tidak menerima sebarang
kenyataan rasmi, cuma ada terbaca dalam surat khabar sahaja. Saya tidak boleh
komen apa-apa, tumpuan saya sekarang ini adalah untuk pasukan PDRM musim ini,”
katanya. - BERNAMA
SUMBER:Artikel ini disiarkan
pada : 2014/01/15
No comments:
Post a Comment