10 Januari 2014
Piya
WALAUPUN kehilangan sebilangan besar pemain berstatus
bintang pada musim ini, namun kapten The Red Warriors, Mohd Badri Mohd Radzi
yakin Kelantan mampu mempertahan Piala FA untuk tahun ketiga berturut-turut,
dalam saingan Liga Malaysia tahun ini.
Mohd Badri yang lebih dikenali
sebagai Piya berkata Kelantan masih boleh dianggap sebagai antara pencabar
utama meskipun menggunakan khidmat sebilangan besar pemain baharu dan muda,
serta tidak mempunyai banyak pengalaman beraksi dalam saingan kelas A.
Katanya, kehilangan beberapa
tonggak utama pasukan seperti Mohd Norfarhan Muhammad, Indra Putra Mahayuddin,
Daudsu Jamaluddin dan Mohd Shakir Shaari yang berhijrah ke pasukan baharu,
menyebabkan jurulatih Steve Darby terpaksa membina semula pasukan ini daripada
bawah.
"Oleh itu, kita memerlukan
sedikit masa untuk mencapai tahap permainan sebenar Kelantan selama ini kerana
ini bukan permainan individu tetapi permainan berpasukan.
"Kalau dilihat di atas
kertas, mungkin kita tidak lagi sehebat seperti musim sebelum ini tetapi saya
percaya Kelantan masih boleh mencabar pasukan hebat seperti Johor Darul Takzim
(JDT), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Terengganu," katanya kepada
pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.
Mengulas mengenai prestasi hambar
Kelantan dalam beberapa perlawanan persahabatan pra-musim 2014, Piya
berpendapat Kelantan masih dalam proses membina keserasian antara setiap pemain
di tiga posisi utama iaitu pertahanan, tengah dan serangan.
"Saya memang akui
keputusan semasa aksi persahabatan agak kurang memberangsangkan dan ini biasa
berlaku kepada kami setiap kali menjelang musim baharu Liga Malaysia.
"Jurulatih ingin mencuba
pemain-pemainnya pada setiap kali perlawanan, jadi saya rasa peminat tak perlu
bimbang. Saya minta penyokong terus memberi kepercayaan dan sokongan kepada
pasukan," katanya.
Kelantan akan mengadakan
perlawanan persahabatan terakhir dengan kelab Thailand, Patalong FC di Stadium
Sultan Muhammad ke-IV pada malam esok sebelum sepak mula Liga Super berlangsung
pada 18 Januari depan. - Bernama
RUJUKAN:SINAR HARIAN ONLINE 10.1.14
No comments:
Post a Comment