Ad

Saturday, 18 January 2014

Selangor bukan 'superstar'

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
 
PEMAIN sayap Selangor, Mohd. Fitri Shazwan Raduwan (kanan) diasak pemain T-Team pada aksi Liga Super di Stadium MBPJ petang semalam.

JURULATIH Selangor, Mehmet Durakovic tidak mahu terlalu cepat mendabik dada dan berpuas hati dengan kejayaan menewaskan T-Team 2-0 pada aksi pertama Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) petang semalam.

Mehmet berkata, beliau tidak mahu skuad kendaliannya dilabel sebagai pasukan gergasi dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bagaimanapun, bekas pengendali Melbourne Victory itu mengakui berpuas hati dengan corak persembahan yang dipamerkan barisan pemain skuad Gergasi Merah.

“Saya berpuas hati dengan persembahan anak-anak buah saya. Kami cuba bermain dengan baik. Meskipun permukaan padang kurang elok, kami berjaya menampilkan satu permainan yang cukup menarik.

“Kami berjaya menjaringkan dua gol dan mungkin boleh menambah dua lagi gol tetapi corak permainan kami sangat baik.

“Kami bukan skuad yang besar tetapi kami memiliki ramai pemain muda. Jadi, falsafah saya adalah mahu skuad ini bermain dengan cantik.

“Kami bukan pasukan berstatus ‘superstar’ tetapi Selangor memiliki pemain yang ada karakter. Semua pemain bermain dengan baik pada petang ini (semalam),” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan itu.

Pada aksi tersebut, penyerang import Selangor, Paulo Rangel muncul wira apabila meledakkan dua gol buat skuad Gergasi Merah pada minit ke-66 dan 73.

Dalam perkembangan sama, Rangel mengakui gembira kerana kerana berjaya menjaringkan dua gol pada aksi sulung bersama Selangor.

“Saya lebih pentingkan kemenangan berbanding jumlah jaringan. Apa yang penting, saya gembira kerana kami berjaya mengutip tiga mata penuh.

“Sejujurnya, saya tidak sasarkan (jumlah jaringan) musim ini dan apa yang saya mahukan adalah meledakkan gol setiap kali diturunkan bersama Selangor,” katanya.

Sementara itu, jurulatih skuad The Titans, Mohd. Azraai Khor Abdullah mengakui beliau telah bersedia untuk berbincang dengan pihak pengurusan T-Team dalam usaha memburu pemain sayap yang berkualiti.

Azraai berkata, beliau akur dengan kekalahan kepada Selangor dan mahu memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada pada skuad kendaliannya.

“Kami tewas kepada pasukan yang sangat hebat. T-Team dilihat sedikit bergelut di jentera serangan terutama membabitkan pemain sayap.

“Kami gagal menghasilkan hantaran dari posisi itu. Jadi, saya akan berbincang dengan pihak pengurusan T-Team untuk mencari pemain sayap pada musim perpindahan pemain, April depan,” katanya.

KOSMO ONLINE 19.1.14

No comments:

Post a Comment