Ad

Thursday, 16 January 2014

Troussier dapat 'lampu hijau'

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
 
TROUSSIER calon utama bimbing Harimau Malaya.

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah dikatakan telah bersetuju melantik Phillipe Troussier sebagai jurulatih baharu Harimau Malaya.

Begitupun, ia kini bergantung kepada Troussier sama ada mahu menabur khidmat di Malaysia atau memilih Tunisia sebagai destinasi baharunya.

Selain FAM, Troussier dilaporkan telah mendapat tawaran lumayan daripada Persatuan Bola Sepak Tunisia.

Begitupun, kini timbul khabar berita apabila Sultan Ahmad Shah telah memberi ‘lampu hijau’ untuk melantik Troussier sebagai pengganti Datuk K. Rajagobal yang telah tamat kontrak pada 31 Disember lalu.

“Pertemuan antara wakil FAM dan Troussier telah diadakan di Singapura kira-kira dua bulan lalu dan daripada pertemuan itu, sememangnya beliau (Trous- sier) sendiri menyatakan minat untuk membimbing Harimau Malaya.

“Dalam mesyuarat Exco FAM sebelum ini, Tuanku Presiden dan Ahli Majlis juga telah bersetuju untuk melantik Troussier dan tiada nama lain dibangkitkan.

“Namun, FAM kini terpaksa bersaing dengan Tunisia yang turut berhajat untuk mendapatkan khidmatnya (Troussier),” kata satu sumber yang enggan dikenali kepada Kosmo! semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Troussier yang pernah membimbing skuad kebangsaan Ivory Coast, Nigeria, Burkina Faso, Afrika Selatan, Jepun, Qatar dan Maghribi ditawarkan gaji AS$1.52 juta (RM4.9 juta) setahun.

Namun, status Troussier masih menjadi tanda tanya biarpun beberapa penggiat sukan tanah air mendedahkan dalam laman sosial Twitter milik mereka bahawa bekas pengendali kelab FC Ryukyu itu sebagai jurulatih baharu Harimau Malaya.

“Sekarang duit bukan masalah bagi FAM kerana mereka akan berusaha mendapatkan tajaan. Kini ia terpulang kepada Troussier sendiri.

“Troussier telah menyatakan minatnya untuk datang ke Malaysia kerana percaya pengalaman bersama pasukan di Asia akan membantu meningkatkan lagi karier kejurulatihannya,” jelas sumber berkenaan.

Selain Troussier, jurulatih AS Roma, Zdenek Zeman; bekas jurulatih Liverpool, Alex Miller; bekas pemain Perancis, Marcel Desailly dan bekas jurulatih China dan Uzbekistan, Bob Houghton dikatakan berada dalam radar FAM.

KOSMO ONLINE 16.1.14

No comments:

Post a Comment