Ad

Thursday, 4 December 2014

Azizon balik kampung



Oleh Azizan Hashim 
Ipoh: Selepas lama berkelana akhirnya Azizon Abdul Kadir pulang ke pasukan negeri asalnya, Perak bagi menghadapi kancah Liga M musim 2015 nanti.

Kepulangan penjaga gol berpengalaman berusia 34 tahun itu sudah pasti mampu memperkasakan The Bos Gaurus yang ketandusan penjaga gol berwibawa ketika ini.

Walaupun lahir di Ipoh, Azizon tidak pernah mewakili Perak dalam sebarang kejohanan sebaliknya menempah nama bersama pasukan lain seperti Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak dan Kuala Lumpur.

“PAFA baru mengikat Azizon. Pengambilannya dibuat atas permintaan ketua jurulatih (Vjeran) Simunic yang mahukan khidmat seorang penjaga gol berpengalaman dalam usaha memperkukuhkan benteng terakhir pasukan,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, semalam.

Menurut Zainol, Perak pada mulanya menjangka mendapat khidmat bekas penjaga gol anak negeri, Mohd Nasril Nordin yang mewakili Pahang, musim ini.

“Nasril mahu pulang ke Perak menjangkakan dia hanya mengikat kontrak setahun dengan Pahang.

“Jadi apabila dia berurusan dengan Pahang mengenai perkara itu barulah tahu bahawa dia masih mempunyai kontrak sehingga akhir 2015,” katanya.

Menurut Zainol pengambilan Azizon yang juga adik kepada bekas pemain negeri pada tahun 1990-an, Idris Kadir atas kehendak Simunic yang bimbang dengan benteng terakhir pasukan Seladang.

“Saya berharap kepincangan di benteng terakhir Perak dapat diselesaikan dengan kehadiran Azizon,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Naib Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu juga berkata Simunic juga mempunyai calon awang import yang bakal tiba di Ipoh minggu ini.

“Saya dimaklumkan pemain dari Jamaica itu beraksi dalam Liga di Bosnia. Apapun kami mahu lihat mereka dahulu sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya.

Senarai pemain perlu dimuktamadkan segera menjelang tarikh tutup pendaftaran 5 Disember ini.

“Tempohnya sudah semakin singkat. Jadi saya berharap calon yang dibawa Simunic ini menepati keperluan Perak,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:10 AM
- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/11520#sthash.m29CcKLd.dpuf

No comments:

Post a Comment