Ad

Friday, 12 December 2014

Badhri sedia sahut cabaran Thailand



13 Disember 2014 1:23 AM
 Mohd. Badhri Radzi (kanan) cuba merampas bola dari kawalan pemain
Mohd. Badhri Radzi (kanan) cuba merampas bola dari kawalan pemain

Mohd. Badhri Radzi (kanan) cuba merampas bola dari kawalan pemain Vietnam, Mac Hong Quan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi kelmarin. – UTUSAN

SEPANG – Dua kali Mohd. Badhri Radzi terlibat dalam dua daripada empat gol Malaysia kelmarin sudah cukup untuk meningkatkan keyakinan dan semangatnya dalam menyertai semula kesebelasan utama pasukan.

Pada minit ke-16, pemain tengah Kelantan itu bergandingan dengan Safiq Rahim untuk membolehkan jaringan kedua negara diperoleh menerusi Norshahrul Idlan Talaha.

Dia kemudian membuat um­panan jauh yang tepat kepada Indra Putra Mahayuddin di sebelah kiri dan hantaran lintang penyerang itu kemudian ditampan masuk ke gawang sendiri oleh pemain pertahanan tuan rumah Dinh Tien Thanh pada minit ke-29.

“Saya sudah menemui keyakinan untuk bermain dalam perlawanan antarabangsa.

“Saya rasa keyakinan dan semangat itu daripada aksi saya di Hanoi bakal terus meningkat untuk dibawa ke perlawanan akhir (17 Di­sember di Bangkok dan 20 Disember di Malaysia).

“Saya tahu bukan senang untuk masuk kesebelasan utama sekarang tetapi saya yakin dapat bermain lagi dalam perlawanan akhir pula,” kata­nya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekembali dari Hanoi semalam.

Penjaga gol Farizal Marlias pula mengakui ketua jurulatih negara Dollah Salleh memberitahunya supaya menggantikan Khairul Fahmi Che Mat atas alasan taktikal.

“Pada mulanya ada juga rasa gementar (kerana) sudah lama tidak main perlawanan antarabangsa. Bagaimanapun, saya hanya tenang untuk perlawanan itu dan hasil sokongan rakan, saya buat yang terbaik dan bermain macam biasa serta mengikut perancangan jurulatih.

“Beliau cuma beritahu saya gantikan Apek (Khairul Fahmi) untuk taktikal. Saya pun tidak tanya apa sebabnya, saya terima sahaja,” katanya yang tidak pasti sama ada langkah itu sebagai berjaga-jaga sekiranya perlawanan diheret hingga ke sepakan penentuan penalti.

Farizal bagaimanapun tidak pasti sama ada prestasinya kelmarin mampu memikat Dollah untuk mengekalkannya dalam kesebelasan utama bagi perlawanan akhir pada 17 dan 20 Disember ini.

“Kalau diberi peluang, saya akan beri yang terbaik. Terpulanglah kepada jurulatih Dollah,” katanya.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/badhri-sedia-sahut-cabaran-thailand-1.35763#sthash.bL8lgQGE.dpuf

No comments:

Post a Comment