MUHAMMAD DAYNE AZMIN | 05
Disember 2014 1:15 AM
KUALA LUMPUR 4 DISEMBER 2014 -
PEMAIN Kebangsaan, Safiq Rahim
PEMAIN tengah Harimau Malaya,
Safiq Rahim (tengah) membuat latihan ringan bersama-sama pemain pertahanan
Mohd. Fadhli Shas sebelum memulakan sesi latihan taktikal di Wisma FAM Petaling
Jaya semalam. – utusan /MOHD. NAIM AZIZ
PETALING JAYA - Demi memastikan
maklumat penting mengenai persiapan pasukan tidak bocor sebelum hari perlawanan
separuh akhir pertama Piala AFF 2014, pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh,
tidak akan teragak-agak untuk mengambil pendekatan berahsia, termasuk kepada
pihak media.
Semuanya gara-gara dia terkilan
kerana pihak media Singapura dapat mengetahui dengan tepat senarai kesebelasan
utama dan formasi yang akan digunakan sebelum pertemuan terakhir peringkat
Kumpulan B dengan pasukan republik itu pada 29 November lalu.
Justeru itu, Dollah mungkin
mengambil pendekatan berlainan supaya lawan berteka-teki apakah strategi yang
akan digunakan Harimau Malaya terutama dalam soal meletakkan pengganti Mohd.
Amri Yahyah dan Shukor Adan.
“Saya sedikit terkilan tentang
bagaimana media cetak Singapura boleh mengetahui secara terperinci kesebelasan
utama kita yang akan digunakan dalam perlawanan tempoh hari. Mereka tidak silap
walau seorang pun.
“Siapa kita letakkan di
bahagian tengah...siapa bermain di posisi pertahanan tengah, semuanya tepat.
Saya hairan bagaimana pihak lawan boleh tahu sampaikan saya menggeleng kepala
melihat perkara itu boleh terjadi walaupun sesi latihan itu hanya dibuka kepada
media Malaysia.
“Mungkin saya patut lebih
berahsia dengan pihak media sehingga ke hari perlawanan untuk mengelak terjadi
lagi apa yang berlaku di Singapura,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan
Harimau Malaya di Petaling Jaya semalam.
Strategi pengendali berusia 51
tahun itu meletakkan Shukor di bahagian pertahanan tengah dan Amri di posisi
sayap kiri berjaya dikesan oleh beberapa media Singapura walaupun tiada seorang
pun petugas media dari republik itu dibenarkan masuk 15 minit selepas sesi
latihan bermula.
Kejadian itu juga membuatkan
Dollah masih berkira-kira untuk mengumumkan siapakah ketua pasukan yang akan
menggantikan Shukor, yang digantung satu perlawanan bersama-sama Amri setelah
mengumpul dua kad kuning di peringkat kumpulan.
Dollah juga berkata, dia tidak
akan membawa ketua pasukan ke sidang akhbar mesyuarat pengurus pasukan pada
petang ini.
“Belum tahu lagi siapa yang
akan jadi ketua pasukan...ini pun menjadi satu isu juga. Saya hanya akan
umumkan menjelang hari perlawanan nanti, saya tidak akan beritahu pada
mesyuarat pengurus esok (hari ini),” katanya.
Stadium Shah Alam dijangka
dipenuhi penyokong Malaysia apabila 15,000 tiket yang dijual secara dalam
talian dikatakan telah habis dalam tempoh dua hari.
Khabar itu meningkatkan mood
Dollah yang teruja dengan sambutan luar biasa peminat Harimau Malaya.
Tambahnya, kehadiran penyokong
yang ramai penting untuk memberikan suntikan semangat kepada para pemainnya
untuk berusaha sebaik mungkin dalam misi memburu bekalan gol yang selesa.
“Inilah yang saya sangat
inginkan, penonton-penonton datang beri sokongan yang tidak berbelah-bahagi
kerana kehadiran mereka dapat menyuntik semangat para pemain untuk
mempertingkatkan prestasi.
“Kita bukan setakat mahukan
bekalan dua hingga tiga gol tetapi mahu memastikan lawan tidak membawa pulang
jaringan di tempat lawan...kalau boleh gawang kita langsung tidak bolos,”
katanya.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/dollah-ambil-sikap-kunci-mulut-1.32733#sthash.YrZl7fmM.dpuf
No comments:
Post a Comment