Ad

Saturday, 6 December 2014

Impian Malaysia musnah



Oleh JALALUDDIN BAHARIN
Sukan.kosmo.com.my
 
 JING YEE menghadiahkan mata pertama skuad negara menerusi acara perseorangan wanita.

MISI skuad badminton negara untuk mengekalkan status juara Kejohanan Badminton Piala Axiata 2014 musnah apabila tewas kepada seteru utama, Indonesia walaupun perlawanan separuh akhir di Stadium Badminton, Cheras semalam berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Begitupun, kelebihan memihak kepada Indonesia kerana format kejohanan mengambil kira jumlah set yang dimenangi pada perlawanan tersebut.

Ternyata kelebihan memihak kepada Indonesia yang mencatat enam kemenangan manakala Malaysia sekadar merekodkan empat kemenangan.

Pada perlawanan semalam, Indonesia bermula garang apabila meraih mata pertama menrusi perseorangan pertama yang menyaksikan Tommy Sugiarto menewaskan Chong Wei Feng dengan straight set 16-21, 19-21.

Namun begitu, kebangkitan mula ditunjukkan oleh skuad negara melalui pemain perseorangan wanita, Tee Jing Yi yang terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan perseorangan Indonesia Bellaetrix Manuputy 13-21, 22-20, 21-19.

Aksi cemerlang terus ditunjukkan oleh pemain beregu negara, Tan Boon Heong-Tan Wee Kiong yang menumbangkan Markis Kido-Kevin Sanjaya 21-10, 13-21 dan 21-18, sekali gus menjadikan Malaysia berada di depan dengan kedudukan 2-1.

Kecemerlangan yang ditunjukkan itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila gandingan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Lai Pei Jing gagal menunjukkan prestasi sebenar apabila tumpas kepada Ricky Widianto-Richi Puspita Dili 14-21, 20-22.

Walaupun skuad negara gagal mempertahankan kejuaraan, namun ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek tetap berpuas hati malah mengingatkan para pemainnya agar bangkit dalam aksi penentuan tempat ketiga/keempat yang akan berlangsung di venue yang sama hari ini.

“Kita tidak bernasib baik pada hari ini (semalam) untuk mengatasi Indonesia kerana kita kalah berdasarkan aksi dalam setiap set, bagaimanapun secara keseluruhan, pemain negara banyak memperlihatkan peningkatan terutamanya pemain perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi yang mempamerkan aksi terbaik walaupun mengalami kekalahan pada set pertama.

“Cuma pemain beregu campuran, mereka nampak sedikit tertekan, sekali gus gagal untuk berada pada prestasi sebenar walaupun mereka sebenarnya boleh bermain dengan lebih baik. Permainan mereka pada hari ini (semalam) tidak menepati apa yang kita harapkan.

“Untuk aksi penentuan ditempat ketiga, kami akan terus berikan yang terbaik walaupun kekalahan ini memberi sedidkit kesan negatif kepada moral pemain. Saya berharap semua pemain dapat kekalkan semangat untuk menang,” katanya semalam.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir semalam, Thailand menempah tempat ke final selepas menewaskan Pilihan Asia 3-0.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1207&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz3LAJwwtBZHakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment